Sempatkah SUPP Bangkit Hadapi PRU Ke-13?

Diterbitkan: Jumaat, 9 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) pada hujung minggu ini pastinya menjadi tumpuan dan diikuti penuh minat para penganalisis politik untuk melihat sama ada parti itu dapat "memperbetulkan keadaan" atau menghadapi kemungkinan "terus rebah" dalam pilihan raya umum akan datang.

SUPP, yang sebelum ini merupakan parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) di Sarawak, dilihat semakin lemah dan ia dianggap gagal menjadi suara rakyat.

Konflik dalaman yang berlaku sejak 2004 menjejaskan parti itu sehingga menyebabkan prestasi buruk pada pilihan raya negeri 2006 dan reputasinya semakin jatuh pada pilihan raya negeri April lepas.

Berbanding pada pilihan raya negeri 2006 yang menyaksikan SUPP kehilangan enam kerusi, pilihan raya negeri April lepas melihat SUPP bukan sahaja kehilangan 13 daripada 19 kerusi yang ditandingi malah Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan sendiri gagal mempertahankan kerusinya.

"Saya tidak fikir SUPP akan dapat bangkit dan pulih semula pada pilihan raya akan datang," kata Prof James Chin, seorang penganalisis politik di Sunway Monash University.

Katanya terlalu banyak masalah yang perlu ditangani SUPP dalam masa yang singkat dan ditambah pula persepsi negatif yang wujud terhadap parti itu.

Selepas menganalisis manifesto yang dikemukakan dua calon jawatan Presiden iaitu Setiausaha Penyelaras Datuk Seri Peter Chin dengan "Pelan Transformasi" dan Timbalan Setiausaha Agung Datuk Seri Wong Soon Koh menyediakan "Pelan Baru", Chin berkata kedua-dua pihak tidak langsung menangani isu-isu utama yang dihadapi parti.

"Tiada satu rancangan pun menangani isu sebenar, isu asas yang dihadapi parti, persepsi yang ada adalah parti ini terlalu lemah. Kedua-duanya menyatakan mahu menyusun semula parti tetapi mereka tidak menangani isu-isu yang dianggap sebagai terlalu lemah untuk menyuarakan pandangan masyarkat, khususnya kaum Cina," kata ahli akademik itu.

Chin berkata yang jelas berlaku kini adalah pemilihan parti yang menyaksikan pertembungan antara dua kumpulan penyokong calon jawatan Presiden sehingga menimbulkan dakwaan, penyebaran skandal dan aduan dikemukakan oleh anggota parti di beberapa bahagian SUPP.

"Pertelingkahan yang berlaku sehingga dikemukakan ke Pendaftar Pertubuhan menggambarkan seriusnya masalah yang dihadapi parti," kata beliau.

Sehingga kini, ROS telah menerima lapan aduan, dengan dua daripadanya disertakan dengan laporan polis, berhubung pemilihan bahagian yang tidak mengikut peraturan. Ini menyebabkan ROS mengeluarkan dua surat kepada SUPP.

Dr George pula mengambil jalan tengah dan menyatakan tidak akan campur tangan atau menjadi orang tengah antara kedua-dua calon jawatan Presiden itu dan membiarkan perwakilan membuat keputusan untuk memilih calon terbaik bagi menerajui dan melakukan pembaharuan parti itu.

Beberapa pemimpin SUPP termasuk di kalangan akar umbi berpendapat sesengit mana pun pemilihan parti, ia adalah pilihan terbaik bagi parti itu untuk bangkit semula.

"Terlalu banyak yang diperkatakan mengenai rancangan (parti) tetapi tiada siapa pun yang berjaya. Hanya satu cara, yang kami lihat iaitu melalui pemilihan parti. Tidak dinafikan ada yang tidak gembira mengenainya tetapi ia masih merupakan wadah yang terbaik untuk perwakilan memilih ke arah mana yang mereka hendak tuju dan siapa yang sepatutnya mengetuai parti," kata seorang pemimpin akar umbi.

Setiausaha Agung SUPP Datuk Sim Kheng Hui turut mempertahankan bahawa pemilihan parti adalah cara terbaik untuk mentransformasi parti. Pemilihan pada TDC akan mengetepikan tradisi senarai pemimpin yang telah sedia disusun untuk para perwakilan meluluskannya, kata beliau.

Sim menjelaskan perwakilan boleh memutuskan dua cadangan pindaan terhadap perlembagaan parti iaitu yang pertama, mengadakan pemilihan terus dan kedua menghadkan tempoh anggota SUPP memegang jawatan menteri dan jawatan parti kepada dua atau tiga penggal.

Pada masa ini, SUPP mempunyai dua peringkat pemilihan dengan kira-kira 600 perwakilan pusat memilih anggota Jawatankuasa Pusat, yang akhirnya memilih anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang kemudiannya memutuskan di kalangan anggota untuk memegang jawatan parti termasuk Presiden parti.

Apapun keputusan pada pemilihan hujung minggu ini, tugas pertama yang mesti dilakukan pemimpin yang dipilih adalah bagaimana mereka harus menyediakan SUPP untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum.

SUPP pada masa ini diperuntukkan tujuh kerusi Parlimen iaitu Serian, Stampin, Bandar Kuching, Sibu, Lanang, Sarikei dan Miri. Dua daripadanya iaitu Bandar Kuching dan Sibu sudah di dalam tangan DAP.

Beberapa penganalisis politik berpendapat SUPP bakal berhadapan kehilangan lebih banyak kerusi pada pilihan raya Parlimen akan datang.

Sebagaimana ditegaskan bekas presiden SUPP Tan Sri Dr Wong Soon Kai dalam satu wawancara dengan akhbar harian tempatan, sesiapa pun yang dipilih mengetuai SUPP akan berhadapan dengan tugas besar untuk memperbaiki imej parti dan berhadapan parti pembangkang.

"SUPP berada dalam satu keadaan sukar dan apa jua keputusan pada pemilihan pusat parti, ia menjadi satu permulaan yang sangat mencabar bagi Presiden baru," kata Dr Wong. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan