Program Komputer 1Malaysia Formula Terbaik Atasi Masalah Jurang Digital Di Sabah

Diterbitkan: Jumaat, 9 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BEAUFORT: Program pengagihan Komputer 1Malaysia, cetusan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, merupakan formula terbaik bagi menangani masalah jurang digital di Sabah, kata Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Membakut Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif.

Beliau berkata, ini kerana pengagihan Komputer 1Malaysia akan membantu meningkatkan lagi kadar penembusan Internet Jalur Lebar isirumah, sekaligus menaiktaraf tahap sosio ekonomi masyarakat di negeri ini.

"Komputer ini merupakan peranti yang penting untuk menjelajah ke dunia tanpa sempadan iaitu Internet yang pasti memudahkan pencarian maklumat yang diperlukan," katanya ketika merasmikan Karnival Merakyatkan ICT dan Seminar Keselamatan ICT anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Dewan Serbaguna Pekan Membakut, dekat sini, Jumaat.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan peringkat negeri Almain Ajirul dan Timbalan Pengarah SKMM Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Karmilla Amirkhan.

Mohd Ariffin berkata pengagihan komputer yang diterajui SKMM itu juga menunjukkan kerjasama padu dan kesungguhan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk mengurangkan jurang digital.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat khususnya penerima Komputer 1Malaysia supaya menggunakan kemudahan itu secara berhemah dan beretika.

"Sekarang ini terlalu banyak kita mendengar mengenai laman-laman web yang bukan sahaja digunakan untuk mengaibkan para pemimpin negara malah digunakan bagi menyebar fitnah dan berita palsu yang sedikit sebanyak telah menjatuhkan imej negara.

"Maklumat-maklumat yang ada di Internet bukan semuanya betul dan sebab itu, masyarakat perlu lebih bijak dalam menyaring maklumat," katanya.

Terdahulu, Karmillah berkata SKMM akan terus memainkan peranan penting untuk memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus perdana pembangunan telekomunikasi.

Katanya usaha berterusan itu adalah sejajar dengan wawasan kerajaan untuk mengurangkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar di negara ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan