KPM Kaji Model Australia Ajar Bahasa Inggeris Secara Intensif

Diterbitkan: Jumaat, 9 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PERTH: Kementerian Pelajaran akan mengkaji model Kursus Intensif Bahasa Inggeris yang dilaksanakan di Australia sebagai contoh bagi memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran bahasa itu di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, model Australia itu contoh yang baik untuk dipelajari dan melihat sama ada ia selaras dengan matlamat pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Menteri Pelajaran itu berkata, berdasarkan pengalaman Australia, kementerian akan melihat kemungkinan menimbang keperluan untuk menambah sukatan mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat pra-sekolah sebagai langkah permulaan.

"Kalau boleh kita mahu ada satu tempoh masa di mana pembelajaran Bahasa Inggeris dibuat secara intensif. Jadi kita akan kaji, mungkinkah, kita boleh mulakan di peringkat pra sekolah kerana dikatakan waktu usia masih kecil mereka lebih mudah menangkap dan boleh mudah mahir.

"Itu permulaannya dan selepas itu bila sudah masuk sekolah formal, kita akan kaji kemungkinan sama ada ketika darjah tiga atau darjah empat, diadakan sekali lagi program yang intensif ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup dengan Jabatan Pendidikan Australia Barat di sini, Jumaat.

Sesi taklimat kira-kira dua jam itu dihadiri Pengarah Kurikulum dan Perkhidmatan Sokongan Jabatan Pelajaran Australia Barat Karen Webster dan Ketua Konsultasinya Coral Jenkins.

Ia bertujuan menjelaskan mengenai pelaksanaan kursus intensif itu yang digunakan untuk mengajar dan meningkatkan kemahiran murid-murid bukan penutur jati Bahasa Inggeris, sebaik sahaja mereka memasuki sistem pelajaran di negara itu yang berteraskan Bahasa Inggeris.

Menurut Muhyiddin, pelajar-pelajar terpilih, kebanyakannya daripada keluarga masyarakat Asia seperti Vietnam, Malaysia dan China yang bermastautin di Australia, diwajibkan untuk mengikuti kursus selama setahun di Pusat Intensif Bahasa Inggeris dengan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Australia.

Katanya, hanya tenaga pengajar yang terlatih akan diambil untuk mengajar Bahasa Inggeris secara intensif selama kira-kira lima jam sehari di pusat berkenaan. Di Malaysia mata pelajaran Bahasa Inggeris hanya diajar lima jam seminggu.

"Saya difahamkan kursus itu cukup berkesan di mana dalam tempoh setahun itu pelajar boleh menguasai Bahasa Inggeris dan apabila mereka balik semula ke sekolah biasa," katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, sekiranya sesuai, pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan konteks dan persekitaran di Malaysia, selain mengambil kira jumlah tenaga pengajar dan kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

"Di sini (Australia) mungkin lebih mudah kerana jumlah yang terlibat pun tidak banyak iaitu kira-kira 7,000 murid sahaja, berbanding di Malaysia satu kohort melibatkan kira-kira 500,000 murid di seluruh negara, jadi untuk melaksanakan kursus ini akan memerlukan kos yang tinggi."

Muhyiddin berkata, berdasarkan taklimat wakil jabatan itu, kerajaan Australia dianggar mengeluarkan kos sebanyak AUS$12,000 bagi setiap pelajar yang mengikuti kursus itu, iaitu dua kali ganda daripada perbelanjaan untuk murid-murid di sekolah biasa.

Kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk memantapkan penggunaan dan kemahiran Bahasa Inggeris di kalangan pelajar Malaysia termasuk membawa guru-guru penutur jati Bahasa Inggeris dari luar negara dan menambah jadual pengajaran bahasa itu di sekolah-sekolah di seluruh negara. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan