Calon Jawatan Presiden SUPP Ancam Pulau Persidangan Parti

Diterbitkan: Jumaat, 9 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Kelihatannya seolah-olah Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang bermula hujung minggu ini, telah pun menerima tamparan yang hebat.

Satu kumpulan yang cenderung kepada salah seorang calon jawatan Presiden, Datuk Seri Wong Soon Koh, yang juga Timbalan Setiausaha Agung, memutuskan untuk memulaukan TDC itu.

Perkara itu terkandung dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini pada Khamis oleh Wong dan kumpulannya yang turut dianggotai Anggota Parlimen Serian Datuk Richard Riot anak Jaem dan Anggota Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King.

Selain itu, kumpulan itu terdiri daripada lima Anggota Dewan Undangan Negeri iaitu Datuk Francis Harden anak Hollis (Simanggang), Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Dr Jerip anak Susil (Bengoh), Ranum anak Mina (Opar) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) serta perwakilan dan penyokong masing-masing.

Wong, 69, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, berdepan Setiausaha Pengelola SUPP Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, 66, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, bagi jawatan Presiden.

"Kami telah memutuskan bahawa kami tidak akan menyertai TDC berikutan dakwaan ada perkara yang tidak kena dan manipulasi dalam pemilihan peringkat bahagian.

"Kami tidak akan mengesahkan TDC dengan penyertaan kami berikutan aduan oleh ramai anggota parti kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS)," kata Wong, sambil menambah mereka bimbang kerana ramai penyokong di peringkat akar umbi menjadi berang dengan dakwaan seperti itu.

"Ramai di antara mereka menghubungi kami untuk menyatakan rasa dukacita dan kekecewaan mereka, dan berkata jika tiada langkah yang diambil untuk memperbetulkan salah laku dan perkara yang tidak kena itu, mereka akan mengadakan bantahan besar-besaran dan tunjuk perasaan semasa TDC berlangsung serta meletak jawatan beramai-ramai," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan TDC itu Ahad ini dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga dijangka hadir.

Wong berkata: "Kami akan menarik diri daripada TDC untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Kami telah memohon Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) supaya bersidang untuk menangani aduan oleh anggota cawangan berhubung perkara yang tidak kena dalam pemilihan cawangan tetapi Presiden parti Tan Sri Dr George Chan Hong Nam enggan menyiasat perkara ini."

Beliau berkata adalah salah bagi pasukannya untuk menyertai dan memberi kewajaran kepada sebuah pemilihan yang "tidak mungkin bebas atau adil disebabkan dakwaan berlaku kejanggalan dalam pemilihan di peringkat cawangan parti."

Wong berkata kumpulannya berpendapat bahawa pendekatan betul yang perlu diambil ialah dengan menangguhkan TDC, menggesa CWC mengadakan siasatan menyeluruh terhadap aduan berlaku kejanggalan dalam cawangan, mengadakan pemilihan baru membabitkan pihak yang terjejas dan mengadakan TDC hanya selepas perkara yang tidak kena itu diperbetulkan.

"Kami menggesa semua penyokong kami dan anggota SUPP yang bersikap adil supaya tidak menyertai TDC melainkan dan sehinggalah semua salah laku dalam pemilihan cawangan diperbetulkan oleh CWC," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan