Abdul Latiff Harungi Detik Paling Menyeronokkan Dengan Pesawat Super Hornet - Berita Semasa | mStar

Abdul Latiff Harungi Detik Paling Menyeronokkan Dengan Pesawat Super Hornet

Diterbitkan: Jumaat, 9 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mengharungi detik paling menyeronokkan dalam hidupnya apabila menaiki jet pejuang jenis Boeing FA-18 Super Hornet pada Pameran Maritim dan Udara Antabangsa Langkawi 2011 (LIMA '11) di sini pada Khamis.

Jet pejuang tersebut, yang dipandu oleh ketua juruterbang ujian Ricardo Traven bagi semua jenis pesawat Hornet, mengelilingi sekitar pulau Langkawi.

Selepas penerbangan selama 30 minit itu, Abdul Latiff keluar dari kokpit dengan senyuman lebar sambil berkata ianya "seronok".

Ketika ditemui pemberita, beliau enggan membuat perbandingan antara jet pejuang itu dengan pesaingnya dalam program pemerolehan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Abdul Latiff berkata kerajaan masih mempunyai masa untuk membuat penilaian sebelum memutuskan perkara tersebut.

"Kita tak terburu-buru tetapi melihat kepada suasana dan aset negara yang ada di Zon Ekslusif Ekonomi...kita perlu ada satu skuadron di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau juga memuji kecekapan Traven memandu jet pejuang tersebut.

Traven mempunyai lebih 20 tahun pengalaman sebagai juruterbang jet pejuang dan juruterbang ujian.

Beliau bersara dari Angkatan Tentera Udara Kanada dengan pangkat Mejar dan menyertai syarikat Boeing pada 1997. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan