Terbaik Chef Wan Selepas 25 Tahun

Diterbitkan: Khamis, 8 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chef Wan dan ibunya, Noraini Abdullah pada pelancaran buku The Best of Chef Wan di Kitchen Culture, Bangsar pada Khamis.
Chef Wan dan ibunya, Noraini Abdullah pada pelancaran buku The Best of Chef Wan di Kitchen Culture, Bangsar pada Khamis.

KUALA LUMPUR: Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan melancarkan buku terbaru beliau yang menampilkan 138 resipi hidangan Malaysia menerusi edisi Inggeris, The Best of Chef Wan dan Selera Malaysia (edisi Bahasa Melayu) di sini, Khamis.

Buku resipi terbitan Marshall Cavendish itu menggabungkan resipi tempatan kegemaran beliau yang terbahagi kepada enam kategori iaitu daging lembu, ayam dan itik, ikan dan makanan laut, kerabu dan sayuran, nasi dan mi serta sup.

Naskah setebal 288 mukasurat itu turut menampilkan hidangan klasik Malaysia seperti Kerutup Daging Terengganu, Sotong Goreng Gaya Nyonya, Nasi Ulam selain Ayam Chettinad, Gulai Daging Siam, Bihun Goreng Tom Yam dan banyak lagi.

Menurut Chef Wan, setelah suku abad berkecimpung dalam industri makanan, beliau masih bersemangat dan komited terhadap usaha meningkatkan pengetahuan dan memperluaskan pendidikan mengenai kualiti penyediaan makanan kepada rakyat tempatan.

"Kita selalu kata Malaysia terkenal dengan makanan tetapi kebanyakan gerai menunjukkan contoh buruk dengan tahap kebersihan yang lemah, menggunakan bahan-bahan tidak selamat dan tidak berkualiti - sedangkan rakyat kita makan 24 jam sehari!

"Sebab itu juga saya bersungguh-sungguh ingin merealisasikan ensiklopedia hidangan Malaysia yang dijangka dilancarkan pada akhir Januari depan. Ia boleh dijadikan rujukan bagi generasi muda untuk menghidup dan memartabatkan warisan makanan tempatan di masa hadapan," katanya selepas melancarkan buku resipi The Best of Chef Wan dan Selera Malaysia di Kitchen Culture, Bangsar pada Khamis.

Pelancaran buku itu dibuat sempena sambutan ulang tahun ke-80 ibu beliau iaitu Noraini Abdullah di samping meraikan 25 tahun penglibatan Chef Wan dalam industri kulinari tempatan dan antarabangsa.

Chef Wan yang merupakan Duta Kulinari Malaysia bukan sahaja diiktiraf atas usahanya memperkenalkan hidangan tempatan di peringkat global malah cukup dihormati dan disayangi ramai sehingga dianugerahkan Friends of Thailand Award pada 2009.

Setelah dikurniakan gelaran Datuk oleh Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada sambutan Hari Wilayah 1 Januari 2009, Chef Wan dilantik sebagai Duta Ikon Pelancongan Malaysia Airlines (MAS) 2010 dan mencipta pakej gourmet bagi penerbangan keluar dan masuk ke Malaysia pada musim cuti.

Sepanjang kerjayanya, Chef Wan muncul dalam lebih 6,000 program masakan dan lantas dilantik sebagai chef residen paling berpengalaman dalam Asian Food Channel (AFC), di mana beliau bekerjasama dengan personaliti terkenal seperti Martin Yan, Anthony Bourdain, Rick Stein dan Todd English.

Terkini, Chef Wan dan Tourism Malaysia bekerjasama menerusi projek Fabulous Food 1 Malaysia - ASEAN Heritage Food Trail pada November 2012 dan sedang ditayangkan menerusi Astro Prima di saluran 105.

Edisi Bahasa Inggeris dan Melayu buku resipi The Best of Chef Wan: A Taste of Malaysia/Selera Malaysia boleh didapati di semua premis jualan buku utama seluruh negara pada RM99.90 di Malaysia, Singapura dan Brunei juga diedarkan Marshall Cavendish di luar negara.

Untuk maklumat lanjut, layari www.marshallcavendish.com.

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan