Aksi 'Purgachev Cobra': Juruterbang Sukhoi Miliki 12 Saat Selamatkan Diri

Diterbitkan: Khamis, 8 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Seorang juruterbang yang melakukan aksi 'Purgachev Cobra' iaitu memberhentikan pesawat di udara sebelum mengemudikannya ke posisi vertikal, hanya memiliki 12 saat untuk menyelamatkan diri jika berlaku kecemasan.

Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia, Mejar Mohd Jasni Abdul Wahab berkata istimewanya pula, aksi aerobatik itu hanya boleh dilakukan pesawat tertentu seperti Sukhoi yang dilengkapi sistem 'thrust vector control' (TVC).

"Aksi ini memerlukan pesawat terbang dengan kelajuan rendah, sebelum berhenti dan muncung pesawat didongakkan sebelum kembali ke posisi asal," katanya kepada Bernama, ketika ditemui pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA '11), di sini.

Beliau yang telah empat tahun mengemudikan pesawat Sukhoi SU-30 MKM, berkata aksi itu juga antara yang paling sukar dan hanya boleh dilakukan juruterbang berpengalaman dan berkemahiran.

"Bayangkan betapa sukarnya mengimbangi pesawat seberat 30 tan pada ketinggian bangunan 10 tingkat dan kelajuan rendah," kata Mohd Jasni yang sebelum ini menerbangkan pesawat F-18D Hornet selama tujuh tahun.

Beliau yang membuat persembahan aerobatik pada pameran kali ini, berkata setiap penerbangan akrobatiknya itu mengambil masa selama 15 minit dan memaparkan empat hingga lima aksi.

"Ia berakhir dengan sentuhan 'Pugachev Cobra'," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata ketika aksi itu, juruterbang memastikan wujud satu garisan maya dipanggil 'ketinggian selamat' yang membolehkan juruterbang mengambil tindakan menyelamatkan diri jika perlu, dalam masa tidak lebih 12 saat.

Mohd Jasni yang berlatih secara intensif sejak dua minggu lepas untuk aksi aerobatik pada LIMA '11 berkata: "Kami juruterbang pesawat pejuang, bukan juruterbang pesawat aerobatik walaupun sesetengah aksi yang kita buat boleh juga digunakan dalam pertempuran di udara." - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan