Tiada Kompromi:Peter Chin

Diterbitkan: Rabu, 7 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA SAMARAHAN: Calon Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin berkata beliau tidak akan berkompromi untuk mengelakkan pertandingan bagi jawatan tertinggi pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali parti itu di sini hujung minggu ini.

Chin, yang juga setiausaha pengelola SUPP dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata beliau, bersama-sama kalangan yang menyokong beliau dalam saingan menduduki kerusi Presiden, telah berusaha ke arah itu sejak beberapa minggu lepas sungguhpun pemilihan secara terus dilihat berkemungkinan lebih memecahbelahkan parti tertua dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak itu.

"Saya berkeyakinan (untuk mendapatkan undi perwakilan), jika tidak, saya tidak akan bertanding," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan RM130,000 kepada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di bawah dana program 1IPTA 1Menteri di kampus Unimas di sini Rabu.

Chin dan seorang lagi calon berpengaruh iaitu Timbalan Setiausaha Agung dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh, bersaing bagi jawatan tertinggi itu selepas Tan Sri Dr George Chan membuat keputusan untuk bersara.

Semalam, Dr Chan berkata beliau tidak akan menjadi orang tengah antara kedua-dua calon Presiden parti itu meskipun beliau dilaporkan telah ditugaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadi pengantara bagi kedua-dua kem.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa kumpulan beliau tidak berusaha untuk menarik pemimpin Bumiputera parti supaya meraih sokongan yang amat diperlukan menjelang pemilihan parti, Chin berkata perkara itu sangat subjektif.

"Saya tidak bersedia untuk membincangkannya secara terbuka," katanya, sambil menambah beliau bagaimanapun berharap mereka akan memberi sokongan kepadanya.

Mereka dikatakan memberi sokongan padu kepada pasukan lawan, yang diketuai oleh Wong.

Sementara itu, ketika menasihati kira-kira 600 perwakilan supaya mengundi dengan bijak, Dr Chan berkeyakinan penuh bahawa kemenangan akan berpihak kepada calon yang boleh membawa transformasi yang lebih baik kepada parti.

Najib, yang juga Pengerusi BN, dijangka merasmikan persidangan tiga tahun sekali SUPP kali ke-22 di Hotel Pullman di sini Sabtu ini, yang akan turut dihadiri Ketua Menteri dan Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan