Musa Sheikh Fadzir Nafi Laporan Dua Akhbar Cina

Diterbitkan: Rabu, 7 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir pada Rabu menafikan dua laporan akhbar berbahasa Cina yang didakwa memutarbelitkan ucapannya semasa Perhimpunan Agung Umno 2011 baru-baru ini.

Katanya, dua akhbar berkenaan iaitu Kwong Wah Yit Poh dan Guang Ming Daily pada 3 Dis lepas melaporkan kononnya beliau mencadangkan bahawa Barisan Nasional (BN) hanya meletakkan calon Umno pada pilihan raya umum akan datang dan tidak perlu bergantung kepada parti komponen yang kalah pada pilihan raya lepas.

"Saya tidak menyebut langsung perkara itu dan saya minta akhbar-akhbar itu memperbetulkan serta menerangkan perkara sebenar mengenai ucapan saya," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Musa berkata beliau hanya menyedari ucapannya diputarbelitkan apabila beberapa pemimpin dan rakan daripada parti komponen BN menelefon dan bertanyakan maksud ucapannya itu.

Katanya beliau amat terkejut selepas meneliti laporan serta terjemahan akhbar berkenaan dan mendapati ia adalah pembohongan oleh wartawan dan akhbar berkenaan.

"Dalam ucapan saya semasa hari Jumaat lepas pada perhimpunan berkenaan, antara lain ialah menyentuh tentang isu-isu semasa yang dihadapi Umno Pulau Pinang dan langsung tidak berucap seperti yang dilaporkan dua akhbar terbabit," katanya.

Musa berkata beliau meminta kedua-dua akhbar itu memohon maaf kepadanya, Umno Pulau Pinang dan BN negeri dengan menyiarkan ralat di muka hadapan akhbar berkenaan.

"Saya memberi tempoh tujuh hari untuk berbuat demikian dan sekiranya mereka gagal, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan