Dakwat Kekal: Pakatan Rakyat Sambut Baik Keputusan SPR

Diterbitkan: Rabu, 7 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat menyambut baik keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) akan datang.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pengumuman itu merupakan kejayaan awal Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan kaedah yang sepatutnya digunakan dalam proses pengundian sejak dari dulu lagi.

"Salah satu tuntutan dalam perjuangan kami selama ini sudah menjadi kenyataan. Namun ada beberapa lagi tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang saya rasa boleh dilaksanakan serta-merta tanpa halangan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian meminta SPR supaya memberikan jaminan bahawa dakwat kekal akan digunakan kerana tidak mahu insiden pada PRU ke-12 berulang kembali.

"Jangan ada alasan untuk mengubah keputusan selepas ini...tunaikan janji jika mahu buktikan pilihan raya yang lebih telus dan adil," katanya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar pula hanya meletakkan kepercayaan kepada SPR 100 peratus jika badan bebas itu melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya akan datang.

Izzah berkata pada 2008, SPR meluluskan penggunaan dakwat kekal tetapi dibatalkan beberapa hari sebelum proses pengundian dijalankan kerana didapati berbahaya dan mengandungi unsur subversif.

"Justeru, SPR perlu kotakan janji mereka dengan merealisasikan kaedah yang lebih relevan untuk diguna pakai," katanya.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PKR, Tian Chua menegaskan penggunaan dakwat kekal lebih praktikal dan murah untuk digunakan dalam pilihan raya berbanding sistem biometrik yang belum teruji keupayaannya untuk merekodkan data penduduk di negara ini.

"Sistem biometrik tidak pernah digunakan oleh mana-mana negara sebelum ini. Jadi, buat apa kita habiskan wang begitu besar untuk sistem yang belum teruji keberkesanannya?," soalnya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Semalam, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengumumkan, dakwat kekal akan digunakan buat pertama kalinya pada PRU yang dijangka diadakan tidak lama lagi selaras dengan keputusan Parlimen meluluskan 10 cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya baru-baru ini.

Katanya, menerusi pindaaan Peraturan Pilihan Raya (Pindaan Pilihan Raya) 1981, pengundi akan terlebih dahulu dicalit dakwat sebelum mendapat kertas undi.

Bagaimanapun, Wan Ahmad menjelaskan SPR akan meminta pandangan Majlis Fatwa sekali lagi untuk menyemak kandungan dakwat bagi mengelak bahan kimia terlarang.

Beliau berkata, SPR membelanjakan kira-kira RM5 juta membeli dakwat baru kerana dakwat kekal yang sepatutnya digunakan pada PRU ke-12 sudah dilupuskan selepas tamat tempoh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan