CAP Gesa Kerajaan Wujud Akta Baru Khusus Tarik Balik Produk Berisiko - Berita Semasa | mStar

CAP Gesa Kerajaan Wujud Akta Baru Khusus Tarik Balik Produk Berisiko

Diterbitkan: Rabu, 7 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan agar menggubal satu akta baru khusus untuk menarik semula produk yang berisiko menyebabkan kecederaan atau kematian kepada pengguna.

Presidennya S.M. Mohamed Idris berkata akta baru itu penting kerana banyak barangan berkualiti rendah berada dalam pasaran.

"Di Malaysia hanya mempunyai garis panduan penarikan semula produk makanan, kesihatan dan kosmetik sedangkan banyak lagi produk seperti barangan elektrik, kereta serta lain-lain yang tidak mendapat pengesahan, tidak ditarik balik," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Katanya banyak peralatan elektrik baru dan inovatif muncul setiap hari di pasaran dan ia tidak mempunyai label SIRIM.

"CAP pernah menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan untuk bertanyakan perkara terbabit, bagaimanapun mereka gagal memberikan penjelasan," katanya.

Mohamed Idris berkata pengeluar juga seharusnya dikenakan penalti atau denda sekiranya terbukti produk mereka tidak selamat.

"Beberapa buah negara seperti Amerika, Jepun, Australia, New Zealand dan United Kingdom telah mewujudkan akta berkenaan.

"Mereka bertindak menarik balik produk yang tidak berkualiti di pasaran mereka antaranya kenderaan, makanan, ubatan, produk elektrik, elektronik dan sebagainya," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan