AirAsia Sangkal Dakwaan MAHB Minta KLIA2 Lebih Besar

Diterbitkan: Selasa, 6 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pertelingkahan antara AirAsia Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjadi semakin hangat apabila syarikat penerbangan kos rendah itu menyangkal dakwaan pengendali lapangan terbang tersebut bahawa AirAsia merupakan alasan utama mengapa kos terminal tambang murah baharu, atau KLIA2, meningkat dengan ketara.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia tidak meminta pembinaan KLIA2 yang lebih besar.

AirAsia akan mengadakan sidang akhbar esok di ibu pejabatnya di Sepang untuk menafikan dakwaan MAHB bahawa ia meminta KLIA2 yang lebih besar.

Syarikat penerbangan itu juga menyediakan salinan dua surat rasmi yang dihantar AirAsia kepada MAHB dan sebaliknya bagi membuktikan ia tidak seharusnya dipersalahkan apabila kos KLIA2 meningkat hampir berganda.

AirAsia, pelanggan terbesar MAHB berkata pengerusinya Datuk Abdul Aziz Abu Bakar, dalam suratnya pada November 2009 kepada pengarah urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid, memberi amaran yang lokasi KLIA2 di KLIA West tidak sesuai dan akan menyebabkan kos pembinaan melonjak lebih tinggi.

"Tapak itu akan pastinya lebih mahal berbanding bajet yang dirancang sebanyak RM2 bilion," kata AirAsia, sambil menambah ia juga memberi anggaran kepada MAHB yang kos pembinaan akan meningkat kepada RM3.6-RM3.9 bilion.

Dalam surat berasingan bertarikh 9 Ogos tahun ini, Bashir menulis kepada pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz, menyatakan cadangan KLIA2 mampu untuk mengendalikan 30 juta penumpang setahun.

"Angka ini tidak pernah ditukar secara rasmi oleh AirAsia atau MAHB sejak 9 Ogos, 2011," kata AirAsia, dalam menyangkal dakwaan dibuat oleh MAHB dalam satu artikel bertajuk "Why KLIA2 has to be bigger" yang diposkan di laman webnya.

Menurut artikel itu, MAHB mendakwa AirAsia adalah pihak yang menganggar trafik penumpang di terminal baharu itu akan mencecah 28.7 juta pada 2015, 45.3 juta menjelang 2020 dan 60.3 juta pada 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, juga menolak justifikasi MAHB menggandakan kos KLIA2 daripada jumlah asal RM2 bilion yang dianggarkan pada 2009 kepada RM3.9 bilion ketika ini.

AirAsia menyebut dalam satu surat bahawa syarikat penerbangan itu tidak seharusnya dipertanggungjawabkan bagi kos berlebihan yang disebabkan oleh keperluan-keperluan ini.

Syarikat penerbangan itu juga menafikan dakwaan MAHB yang ia meminta sistem pengendalian bagasi automatik sepenuhnya (BHS), yang dipercayai menyebabkan kelewatan dalam pembinaan, dengan menyatakan ia hanya meminta BHS separa automatik.

"Lembaga MAHB memutuskan sendiri bagi BHS automatik sepenuhnya bagi menampung 45-60 juta penumpang, yang sekali lagi tidak dipersetujui oleh AirAsia," kata syarikat penerbangan itu.

AirAsia berkata permintaannya bagi landasan 3,000-meter adalah berasaskan kepada keperluan asalnya kepada MAHB untuk menyediakan kepada pesawat Airbus A330, yang dikendalikan oleh Air Asia X.

Kemudiannya, ia berkata, MAHB telah memendekkan jarak landasan kepada 2,750 meter, yang hanya boleh menampung pesawat A320, tanpa berunding dengan AirAsia.

"Oleh itu, ini tidak seharusnya dianggap sebagai permintaan/keperluan tambahan daripada AirAsia kerana pelan asal sememangnya bagi landasan 3,000 meter.

"Justeru itu, tidak sepatutnya berlaku kos tambahan," kata syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, dalam maklum balas kemudian, MAHB mengeluarkan dua pucuk surat, satu ditulis oleh Tony Fernandes kepada Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad, dan satu lagi daripada Bashir kepada pengerusi AirAsia X Sdn Bhd Tan Sri Rafidah Aziz, mengandungi surat-menyurat menunjukkan yang AirAsia telah bersetuju kepada BHS automasi sepenuhnya.

Menurut surat itu, Fernandes berkata ini ialah kerana syarikat tambang rendah itu telah memajukan sistem penumpang dan bagasi "check-in" canggih, yang akan digunakan di LCCT2 yang baharu (KLIA2).

Beliau juga telah berkata dalam surat yang disediakan oleh MAHB yang pertumbuhan penumpang AirAsia akan terus melangkaui 30 juta penumpang ke paras tertinggi 50-60 juta penumpang.

Beliau turut berkata yang dalam tempoh kurang daripada lima tahun daripada hari pembukaan (2017), "unjuran kami akan melebihi 35 juta ppa."

Pada Oktober 2011, Bashir dalam sepucuk surat kepada Rafidah, memberikan penjelasan selanjutnya mengenai keputusan yang dibuat berhubung BHS, telah berkata yang lembaga pengarah MAHB telah memutuskan untuk meneruskan dengan Option 3, contoh, BHS automasi sepenuhnya, yang seiring dengan permintaan AirAsia untuk memastikan BHS yang bagus.

Sistem seumpama itu akan mempunyai kapasiti dan fleksibiliti untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan AirAsia dalam tempoh jangka panjang.

Bashir berkata yang MAHB telah menyampaikan keputusan pihak lembaga kepada AirAsia.

Beralih kepada siaran akhbar AirAsia yang terdahulu, MAHB berkata sebanyak 47 mesyuarat telah diadakan antara MAHB dan AirAsia sejak April 2010 sehingga sekarang untuk membincangkan dan menangani kesemua keperluan AirAsia. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 27 Jun 2017 3:00 PM

Ardell Dah Jemu Berlakon?

Selasa, 27 Jun 2017 2:25 PM

Siti Nurhaliza Pun Naik ETS Tau!

Selasa, 27 Jun 2017 9:33 AM

Hazman dan Eryn Raya Bersama?

Isnin, 26 Jun 2017 5:00 PM

Wow... Gaya 5 Selebriti Di Pagi Raya

Isnin, 26 Jun 2017 3:00 PM

Dapat Impak Ramai Penyanyi Bernama 'Wani'

Isnin, 26 Jun 2017 12:09 PM

Kisah Raya 3 Teruna

Isnin, 26 Jun 2017 9:30 AM

Selongkar Raya Zara Zya

Kolumnis

iklan

Iklan