Sungai Batu Di Lembah Bujang Dijadikan Pusat Pameran Tamadun Manusia

Diterbitkan: Isnin, 5 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GURUN: Sungai Batu dalam Lembah Bujang di Merbok, yang disahkan sebagai penempatan tamadun seawal abad pertama, akan dibangunkan menjadi pusat pameran tamadun manusia yang diktiraf oleh Unesco, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kementerian akan membawa wakil Unesco untuk memberi penilaian baru terhadap penemuan artifak di Sungai Batu yang telah diradiokarbon dan disahkan di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea bertarikh abad pertama atau tarikh 101.

"Ini adalah fakta sejarah arkeologi bahawa tamadun pertama wujud di Lembah Bujang, lebih tua dari Manusia Perak yang ditemui di Lenggong dan mendapat pengiktirafan Unesco sebagai warisan dunia.

"Saya telah dua kali bentangkan laporan tamadun Sungai Batu kepada kabinet kerana mahu penemuan bersejarah ini tidak dipandang ringan," kata Rais kepada pemberita selepas merasmikan pameran 'Pedang Nabi Muhammad S.A.W, Khazanah Tamadun Islam dan Koleksi Sejarah Seni Silat Pusaka Gayong di Dewan Sri Zaleha di kilang Naza di sini Isnin.

Selain Unesco, kementerian juga akan meminta pakar-pakar antarabangsa membuat pembentangan dari sudut sejarah sementara Universiti Sains Malaysia meneruskan kajian di tapak penemuan artifaks di Sungai Batu, katanya.

Rais berharap budaya Langkasuka kurun pertama ditemui di Sungai Batu akan popular dan menjadi tumpuan hasil pembangunan yang bakal dilaksanakan.

Mengenai pameran itu, beliau meminta orang Melayu mengambil iktibar sejarah tamadun Islam sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W dengan berpaksi kepada nilai budaya bangsa dan tidak gopoh mengambil tindakan untuk menjadi bangsa lebih besar.

"Bangsa Melayu tidak boleh sambil lewa...kena ambil iktibar perkembangan Islam bagi membentuk sahsiah yang mantap," katanya.

Beliau memuji pewaris seni Silat Gayong mengembangkan seni warisan Melayu sebagai usaha murni, dan dalam hal ini, kementerian akan membantu pihak-pihak yang berusaha mempertahankan seni dan warisan seperti ini.

Pada majlis itu Rais menyampaikan sumbangan netbook kepada 15 pelajar terpilih dalam kawasan Parlimen Jerai.

Pameran yang berlangsung sehingga 19 Dis ini mempamerkan antaranya pedang Nabi Muhammad S.A.W, pelbagai mushaf al-Quran dan koleksi pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong.

Orang dewasa dikenakan bayaran masuk RM10 dan kanak-kanak RM5. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan