Pokok Tumbang Di Bandar Raya Sudah Dibersihkan:DBKL

Diterbitkan: Isnin, 5 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melakukan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang di jalan-jalan utama sekitar bandar raya ini ekoran kejadian hujan lebat dan angin kencang petang semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan DBKL, kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok-pokok di jalan utama yang menghalang lalulintas telah mula dibersihkan pada 11.30 malam tadi dan akan diteruskan sehingga siap sepenuhnya hari ini.

Kerja-kerja pembersihan melibatkan lebih 75 orang anggota terdiri daripada kakitangan DBKL, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tiga jalan utama yang melibatkan kejadian pokok tumbang ialah Jalan Tun Razak menghala ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jalan Tun Razak dari Bulatan Pahang menghala ke Cheras dan Jalan Maran off Jalan Kuantan.

Kenyataan itu menyebut terdapat kerosakan harta benda di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek akibat pokok yang menghempap dua buah kereta dan tiga buah motosikal.

Satu lagi kerosakan kecil melibatkan sebatang pokok menghempap premis milik DBKL di Jalan Tembeling, Taman Tasik Titiwangsa namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sebanyak 61 aduan pokok tumbang diterima melibatkan 24 lokasi di kawasan Parlimen Kepong dan Batu, 14 lokasi di kawasan Parlimen Bukit Bintang, 13 lokasi di Parlimen Setiawangsa, Wangsa Maju, Titiwangsa, lima lokasi Parlimen Segambut, tiga lokasi Parlimen Cheras serta satu lokasi masing-masing di Parlimen Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berterima kasih atas sikap proaktif warga kota yang menyalurkan maklumat mengenai pokok tumbang dalam kejadian petang semalam, dan ini membantu DBKL melakukan proses pembersihan jalan.

"Adalah sukar untuk pihak DBKL mengenal pasti kesemua lokasi pokok tumbang dalam masa yang singkat sekiranya warga kota tidak membantu menyalurkan maklumat...Terima kasih warga KL," katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata pasukan gerakan bomba telah bersiap sedia di setiap balai bomba di Selangor dalam menghadapi banjir.

"Pasukan kami telah bersiap sedia terutama di kawasan sering dilanda banjir seperti Hulu Langat, Kajang dan Tanjung Karang," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Katanya semua balai bomba telah dilengkapi peralatan menghadapi banjir seperti jaket keselamatan, bot dan lori untuk memindahkan orang awam jika berlaku banjir.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk lebih peka dengan keadaan cuaca semasa melalui media cetak dan elektronik.

"Mulai sekarang orang ramai perlu mengambil berat dan peka mengenai cuaca terkini, dengar melalui radio atau laman web dari Jabatan Meteorologi Malaysia terutamanya ambil perhatian bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah.

"Buat persediaan awal dengan menyimpan dokumen penting seperti kad pengenalan, sijil kelahiran dan sebagainya di tempat yang lebih selamat memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan