PDRM Sudah Sedia Hadapi Pilihan Raya

Diterbitkan: Isnin, 5 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap sedia dari segi keperluan dan peralatannya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah berkata kini jabatan itu sedang berurusan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menentukan perolehan peralatan serta kewangan yang mencukupi bagi menghadapi pilihan raya itu.

"Pihak Jabatan Logistik dengan jabatan-jabatan lain juga sudah berhubung sesama sendiri untuk melihat apa yang diperlukan. Kita telah bersiap siaga sentiasa, hanya tunggu isyarat tepat bila ia (pilihan raya) itu akan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Jabatan Logistik dan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 kepada 110 pegawai, anggota dan pegawai awam di Bukit Aman di sini Isnin.

Mengenai agihan bajet yang diperoleh Jabatan Logistik PDRM daripada Belanjawan 2012 yang dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan perkara itu namun memaklumkan bekalan peralatan baru bakal diperoleh selewat-lewatnya Jun tahun depan.

"Saya tak mahu mengulas mengenai angka agihan itu...Seperti yang kita semua tahu kita (PDRM) mendapat peruntukan sebanyak RM200 juta untuk tujuan permodenan PDRM. Berapa yang kita (Jabatan Logistik) peroleh, saya tak bercadang beritahu anda semua.

"Cuma, pada ketika ini PDRM sedang menunggu setiap jabatan untuk menyediakan spesifikasi atau memutamadkan keperluan yang mereka mahukan untuk memantapkan PDRM," katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata jabatan itu menerima RM2.8 juta dalam peruntukan pembangunan 2012 untuk menyediakan setor bagi keperluan Jabatan Narkotik.

"Prasarana seperti sediakan setor itu, ia di bawah tanggungjawab kita. Jadi, kita akan peruntukan bajet itu untuk menyediakan setor untuk Jabatan Narkotik khasnya, dengan dilengkapi peralatan yang sesuai," katanya.

Sementara itu Zulkifli dalam ucapannya berkata sebanyak lima resolusi telah diterima jabatan itu ketika persidangan ketua-ketua polis baru-baru ini.

"Lima perkara yang perlu dihayati oleh setiap warga logistik adalah menguruskan perolehan bagi permodenan PDRM dan pemantapan siasatan; memastikan peralatan asas dibekalkan berdasarkan kualiti dan masa yang ditetapkan, perbelanjaan berhemah dengan menitik beratkan nilai untuk wang dan mengelak pembaziran.

"Selain itu, kita juga perlu memastikan perolehan yang standard mengguna pakai amalan terbaik serta kepatuhan kepada segala peraturan dan tatacara kewangan serta memastikan keperluan logistik bagi menghadapi PRU13," kata Zulkifli. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan