MYCESMM Tingkatkan Penyampaian Projek Pembinaan Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 4 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penggiat industri yakin pengenalan Kaedah Pengukuran Standard Kejuruteraan Awam Malaysia (MyCESMM) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan meningkatkan penyampaian projek industri pembinaan negara.

Presiden MCM Value Sdn Bhd Mohd Mazlan Che Mat yang juga seorang juruukur bahan berkata dokumen itu yang menyamai standard antarabangsa, akan memandu industri itu supaya lebih berhemat dari segi perancangan dan pengurusan kos.

"Ia memang perkara baharu dalam industri dan kita perlu bersikap positif. Lazimnya apa yang diamalkan di negara maju merupakan amalan terbaik dan kita tidak ada pilihan tetapi melaksanakannya (liberalisasi)," katanya di sini, Ahad.

Beliau berkata dokumen baharu itu mengekalkan konsep dan prinsip yang sama dalam Kaedah Standard Pengukuran Kerja Kejuruteraan Awam Malaysia (CESMM), yang diperkenal pada 2003, namun mengandungi maklumat item dan teknikal yang lebih terperinci.

Dari segi penerimaannya, beliau berkata penggiat industri perlu menerima pakai standard pengukuran baharu itu secepat mungkin memandangkan mereka akan melalui liberalisasi industri pada 2015.

"Ia merupakan piawaian tempatan, sesuai dengan persekitaran dalam negara, dan terserahkanlah kepada penggiat industri tempatan untuk menggunakannya bagi meningkatkan diri supaya lebih memahami MyCESMM.

"Kita perlu membuat lonjakan dari segi masa memandangkan kita memperoleh kelebihan kerana berjaya melancarkannya sekarang."

Mohd Mazlan berkata menerusi MyCESMM, peserta tempatan akan menyedari bahawa standard baharu itu mengurangkan risiko, yang merupakan elemen penting dalam sesebuah projek.

"Semakin besar ketidaktentuan dalam dokumen projek, risiko dan harga oleh kontraktor akan lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata penyelarasan item dan memaklumkannya kepada orang ramai akan mengurangkan ketidaktentuan, mengurangkan risiko dan menjadikan kos lebih kompetitif.

"Saya berpendapat (elemen risiko) merupakan rasional terbesar pelaksanaan MyCESMM, selain pembidaan, pemantauan dan harga," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bahagian Juruukur Bahan Institut Juruukur Malaysia Eddie Wong Weng Hong berkata MyCESMM akan meningkatkan standard operasi syarikat tempatan jika mereka mematuhi sepenuhnya piawaian itu.

Tambahan pula, penggunaan sepenuhnya standard pengukuran itu akan membolehkan CIDB memperoleh maklum balas mencukupi untuk meningkatkan MyCESMM untuk dipeluaskan ke peringkat serantau.

Beliau berkata dalam Asean sendiri, banyak negara seperti Indonesia, Thailand Mynamar dan Filipina, tidak mempunyai standard pengukuran mereka sendiri dan menggunakan standard luar.

Beliau berkata MyCESMM ibarat dokumen buku warisan yang merangkumkan adat lama yang melambangkan budaya pembinaan tempatan.

"Orang asing apabila mereka datang (selepas liberalisasi) akan mengetahui ia adalah adat resam budaya pembinaan tempatan, kaedah kerja kita, cara kita mengukur dan kaedah pembayaran.

"Dan apabila mereka datang ke sini, mereka perlu ikut adat resam itu," katanya.

Beliau turut memuji CIDB yang mengeluarkan dokumen itu yang turut meliputi buku panduan MyCESMM dan Perpustakaan Deskripsi Standard BQ bagi MyCESMM.

"Ia merupakan set menyeluruh dan kegunaannya memudahkan industri," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan