LIMA 2011: Perkhidmatan Udara, Laut Dan Darat Dijamin Mencukupi

Diterbitkan: Ahad, 4 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Perkhidmatan udara, laut dan darat dijamin mencukupi bagi menampung permintaan semasa berlangsungnya Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima) 2011 mulai Selasa ini.

Pengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi Abdul Halim Othman berkata walaupun tiada penerbangan tambahan dibuat oleh syarikat penerbangan yang mengadakan perkhidmatan ke pulau peranginan ini, syarikat penerbangan terbabit mengunakan pesawat lebih besar bagi menampung permintaan.

"Sebanyak 24 penerbangan berjadual diadakan ke Langkawi setiap hari oleh beberapa syarikat," katanya.

Pada masa ini Penerbangan Malaysia (MAS), Air Asia, Firefly, Berjaya Air dan Silk Air Singapura mengadakan penerbangan setiap hari ke pulau bebas cukai itu.

Bagi laluan laut, perkhidmatan feri penumpang mencukupi dan jika ada permintaan, tambahan perjalanan akan diadakan.

Pengurus sebuah syarikat feri, Wong Sie Kiong berkata lebih 20 feri sedang beroperasi dari Kuala Perlis, Kuala Kedah dan Pulau Pinang ke Langkawi serta sebaliknya.

"Jika perlu perkhidmatan akan dilanjutkan hingga waktu malam bagi membawa penumpang," katanya.

Sementara itu, Persatuan Tuan Empunya Pemandu Kereta Sewa dan Teksi Langkawi turut memberi jaminan perkhidmatan teksi mencukupi.

Naib Pengerusinya Mohd Adnan Salleh berkata perkhidmatan secukupnya akan diadakan di pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Matsirat dan Jeti Kuah.

Katanya terdapat lebih 800 buah teksi beroperasi di Langkawi.

Beliau mengingatkan pemandu teksi supaya tidak mengambil kesempatan mengenakan tambang berlebihan daripada yang ditetapkan.

"Kita perlu menjaga imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa," katanya.

Lima 2011 edisi ke-11 berlangsung dari 6 hingga 10 Disember, menyaksikan penyertaan lebih 400 syarikat dari 56 negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan