Perhimpunan Agung Umno: Perlu Ada Usaha Tarik Ilmuan Agama

Diterbitkan: Sabtu, 3 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahya menyarankan supaya usaha dilakukan bagi menarik lebih ramai ilmuan agama menyertai parti tersebut.

Fathul Bari yang mewakili Umno Perlis berkata, terdapat ramai ilmuan agama yang kurang berminat untuk menyertai Umno kerana beranggapan tiada saluran untuk menyuarakan pandangan. "Kita memerlukan ilmuan agama kerana Perlembagaan Umno adalah untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara," katanya semasa membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial di Perhimpunan Agung Umno di sini pada Sabtu.

Beliau juga menyarankan supaya bahagian atau cawangan Umno memberi peluang kepada ilmuan agama mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan.

Selain itu, Fathul Bari juga mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran menghimpunkan pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah untuk diberi pendedahan bahawa mereka tidak pernah dianaktirikan oleh kerajaan.

Beliau berkata, terdapat ramai mahasiswa yang berkemahiran untuk berpidato dan mengulas tentang pelbagai isu agama, bagaimanapun mereka ini perlu dilengkapi dengan ilmu agar dapat menangkis politik yang dimainkan oleh Pas.

"Kita sudah letih mendengar pembangkang yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran," tambahnya.

Fathul Bari yang juga anak kepada bekas mufti Perlis berkata, Umno perlu melakukan proses tazkiyah (penyucian) atau tarbiah (pendidikan) untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa selepas ini. Tambah beliau, proses penyucian meliputi sikap ahli dan pemimpin parti yang lebih mencintai perihal keduniaan iaitu jawatan dan harta berbanding memartabatkan agama.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan