Objektif Perhimpunan Agung Tercapai - Najib

Diterbitkan: Sabtu, 3 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, empat objektif yang telah beliau gariskan untuk Perhimpunan Agung Umno 2011 telah tercapai.

Empat objektif tersebut, katanya ialah:

> Untuk menunjukkan bahawa Umno telah bersatu;

> Bersedia hadapi pilihan raya umum yang ke-13;

> Bahawa perwakilan menyokong penuh ke atas Program Trasformasi Kerajaan dan

> Untuk menghantar mesej yang jelas kepada 12.4 juta pengundi dan seluruh rakyat Malaysia bahawa mereka boleh menyerahkan kepercayaan dan keyakinan kepada Umno untuk membawa mereka ke masa depan yang lebih cerah dan cemerlang.

Najib berkata demikian ketika mengulung perbahasan di hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2011 yang berlangsung di PWTC di sini pada Sabtu.

Lain-lain perkara utama yang ditekankan dalam penggulungan presiden Umno itu ialah:

* Sementara kebanyakan ekonomi negara Eropah dan Barat berada dalam keadaan yang tidak baik, ekonomi Malaysia masih bertahan dan ini adalah hasil kepimpinan yang baik.

* Parti pembangkang hanya mampu menabur tuduhan dan fitnah ke atas Umno dan kerajaan tetapi tidak mampu menjaga rumah tangga mereka sendiri.

* Mereka mendakwa ramai ahli Parlimen Barisan Nasional akan menyeberang ke sebelah pembangkang sebaliknya 6 ahli parlimen mereka dan 4 ahli dewan undangan negeri mereka telah keluar meninggalkan parti itu.

* Pembangkang bercakap tentang demokrasi tetapi tidak pernah mempraktikkan di dalam parti mereka sendiri.

* Pembangkang mendakwa proses pilihan raya umum tidak betul. Jika itu benar, bagaimana mereka menang di Selangor dan negeri-negeri lain?

* PAS telah diperalatkan oleh DAP. Jika PAS benar-benar sebuah parti Islam, mereka mestilah meninggalkan Pakatan Rakyat.

* Menyeru agar tidak wujud lagi perbalahan dalam Umno. Sebaliknya tunjukkan semangat berpasukan. Dan sekiranya dikaji semula, Umno tewas banyak kerusi kerana ada ahli Umno yang mengkhianati parti sendiri.

* Rakyat perlu menentukan sama ada mereka mahukan Malaysia yang lebih cerah dengan memilih Barisan Nasional atau masa depan yang gelap dengan memilih pembangkang.

* Kemenangan demi kemenangan dalam pilihan raya kecil membuktikan transformasi dalam parti telah menghasilkan keputusan yang diinginkan.

Sementara itu, Najib berkata perhimpunan kali ini juga telah mencipta satu sejarah apabila ia diakhiri dengan satu ikrar atau bai'ah yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bertujuan untuk sumpah setia dan taat kepada parti dan pemimpin.

"Bila balik ke kawasan kelak, janganlah meluat tengok muka ketua bahagian dan ketua Bahagian pun bila tengok muka timbalannya, jangan pula ingat dia nak ambil jawatan ketua bahagian," katanya.

Najib menambah, semua anggota parti haruslah insaf dan sedar bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana jika Umno tewas dan tersungkur, maruah agama dan bangsa juga akan turut binasa.

"Ini tanda transformasi besar parti telah bermula, pada detik saat ini, ketika bersejarah ini dalam dewan ini, ambillah seruan Allah (swt).

"Hendaklah kita bersiap sedia dengan segala kekuatan yang ada, lengkap diri masing-masing, turun ke medan juang sebagai satu saf yang padu, pasukan yang kukuh, barisan yang kuat dan jemaah yang ampuh", katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan