Perhimpunan Agung Umno: Puteri Syor Jwtkuasa Khas Tentukan Kejayaan Transformasi Ekonomi

Diterbitkan: Jumaat, 2 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno hari ini mengesyorkan kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas yang dianggotai pakar ekonomi dan profesional bagi memastikan kejayaan program Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.

Wakil Puteri Umno Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman turut mencadangkan supaya jawatankuasa itu melibatkan institut pemikir seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, badan profesional dan dewan perniagaan, badan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera dan Biro Ekonomi Umno.

Penglibatan golongan ini boleh mengutarakan struktur dan sumber yang terbaik bagi menyokong program berkenaan, katanya ketika menyokong usul ekonomi yang dicadangkan oleh wakil Perak Datuk Idris Hashim pada Perhimpunan Agung Umno 2011, di sini hari ini.

Dilancarkan pada 26 November 2011, Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera ialah program khusus bagi memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi negara yang sekaligus manfaatnya akan turut dikecapi oleh seluruh rakyat Malaysia.

Selain itu, Jamilah melahirkan rasa dukacita kerana daripada 100 syarikat utama di Bursa Malaysia hanya sembilan buah syarikat atau sembilan peratus sahaja yang dimilikki Bumiputera, manakala daripada lebih 1,000 syarikat di Bursa Malaysia hanya 43 buah syarikat atau 0.043 peratus dikawal oleh Bumiputera.

Beliau berkata, syarikat yang dimiliki dan dikawal merupakan manifestasi pelaburan pasif Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang menjadi tunjang tabungan Bumiputera.

"Orang-orang kampung menabung lebih 20 tahun tetapi apakah dividen kurang daripada 10 peratus yang diterima selama ini merupakan kadar yang kompetitif berbanding dengan pelaburan di Bank Rakyat?" soalnya.

Jamilah juga mencadangkan Skim Usahawan Bumiputera Pertama diwujudkan dengan dana sebanyak RM500 juta khusus untuk generasi muda yang berumur 40 tahun ke bawah dan pertama kali menjadi usahawan dalam usaha untuk meningkatkan pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi.

Beliau berkata, dana itu boleh dikumpulkan dengan menggabungkan peruntukan yang diberikan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebanyak RM200 juta dan Tekun Nasional.

"Jika kadar maksimum geran yang diperuntukkan kepada pemohon berjumlah RM50,000 maka peruntukan RM500 juta mampu melahirkan 10,000 usahawan muda pada 2012.

"Skim ini mampu bantu kurangkan kadar pengangguran, tambah pendapatan negara melalui kutipan cukai syarikat dan lahirkan usahawan muda yang kreatif," katanya lagi.

Sementara itu, peranan Pelaburan Hartanah Bhd mesti dimantapkan lagi dengan mempertingkatkan pemilikan premis perniagaan di lokasi strategik dan menawarkannya kepada usahawan di bawah skim itu dengan kadar sewa berpatutan, katanya dan menambah agar diwujudkan sebuah unit melalui insentif khas bagi membantu usahawan berkenaan mengembangkan perniagaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan