Umno Telah Buktikan Ia Sebuah Parti Yang Bertolak Ansur Dengan Beri Kerusi Majoriti Melayu Kepada Bukan Melayu

Diterbitkan: Khamis, 1 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umno bukanlah sebuah parti rasis malah ia adalah pencetus dan perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum dan telah mencipta kestabilan sosial, kata Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Umno juga telah membawa kemakmuran nasional sejak dahulu lagi menerusi kerjasama dengan mencipta prinsip atau konsep perkongsian kuasa unik melalui gabungan Umno, MCA dan MIC dalam Parti Perikatan.

Beliau berkata keikhlasan itu dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.

"Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang-orang Melayu untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri demi matlamat lebih besar yakni memenangi pilihan raya, kemudiannya membentuk kerajaan seterusnya mencapai kemerdekaan.

"Terbukti sejak dari dulu lagi, Umno bukanlah sebuah pertubuhan rasis. Umno sebenar dan sebetulnya adalah pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum yang akhirnya telah mencipta kestabilan sosial, membawa kepada kemakmuran nasional," katanya dalam ucapan dasar bertajuk "Umno Menjuarai Transformasi" pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini, Khamis.

Menyingkap sejarah sejak tahun 1955, Perdana Menteri berkata prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan oleh Umno dalam pilihan raya tahun itu untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan.

"Kita (Umno) meletakan calon di hanya 35 kawasan berbanding MCA 15 (kawasan) dan MIC dua (kawasan). Walhal, daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti Melayu dan hanya dua kawasan majoriti Cina," katanya.

Najib berkata, pecahan pengundi semasa pilihan raya itu mencatatkan majoriti kira-kira 84 peratus atau lebih satu juta pengundi Melayu dan sebanyak 11 peratus atau sebanyak 143,000 pula adalah pengundi Cina manakala 50,000 atau hampir 4 peratus sahaja di kalangan pengundi India.

"Hakikat tersebut nyatanya tidak menghalang semua calon parti MCA dan parti MIC untuk menang. Bagi pemimpin dan orang-orang Umno, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan