Henti Segera Aktiviti Cari Benih Ikan Kerapu Di Terengganu

Diterbitkan: Khamis, 1 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pencari benih ikan kerapu di negeri ini diingatkan supaya memberhentikan aktiviti mereka kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Perikanan 1996.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zakaria Ismail berkata, kegiatan tersebut didapati banyak berlaku di pantai Terengganu terutamanya di Besut, Setiu dan juga Marang.

"Semua kegiatan menangkap anak ikan kerapu adalah dilarang dari bulan November hingga Disember setiap tahun," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Katanya, larangan itu bertujuan untuk menjaga sumber dan juga mengelak benih ikan itu dijual ke luar negara, sekaligus boleh menjejaskan ekonomi negara.

Menurut Zakaria, pada musim tengkujuh induk-induk ikan kerapu akan melepaskan telur dan anak-anak ikan turun ke pantai untuk membesar.

Zakaria berkata, anak-anak ikan kerapu pada musim tengkujuh ini banyak berkumpul di tepi pantai dan pencari benih ikan berharga itu akan memasang perangkap untuk menangkapnya.

Perangkap itu diperbuat daripada ranting-ranting kayu dan daun pokok yang diletakkan di tepi pantai sebagai tempat anak-anak ikan itu berlindung, katanya.

"Sekiranya kita temui mereka sedang menjalankan aktiviti menangkap benih kerapu ini, mereka boleh didakwa dan jika didapati bersalah dikenakan denda," katanya tanpa menjelaskan jumlah denda. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan