Denggi: Dua Kematian Baru Pada Minggu Ke-47

Diterbitkan: Khamis, 1 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejumlah 437 kes demam denggi dengan dua kematian telah dilaporkan pada minggu ke-47 dari 20 November hingga Sabtu lepas (26 Nov) sekaligus mencatatkan peningkatan kes sebanyak 20 berbanding minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman. Dr Hasan dalam satu kenyataan berkata, peningkatan itu adalah sebanyak lima peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu 417 kes dimana tiada sebarang rekod kematian dicatatkan.

"Dua kematian itu dicatatkan masing-masing di Johor dan Selangor akibat komplikasi denggi iaitu 'Dengue Shock Syndrome'," katanya.

Menurut beliau, antara negeri yang menunjukkan peningkatan kes ialah Selangor dengan 21 kes (13 peratus), Johor 10 kes (42 peratus), Perak 8 kes (19 peratus), Melaka 1 kes (8 peratus), Pahang dan Sarawak masing-masing 2 kes (17 peratus) sementara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing meningkat sebanyak 1 kes (2 peratus).

Beliau berkata, pada keseluruhannya sejak enam minggu lepas terdapat peningkatan kes dengan purata lapan peratus setiap minggu berlaku di seluruh negara.

"Ia melibatkan negeri-negeri yang menunjukkan peningkatan kes berterusan sejak beberapa minggu lepas iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.

Menurutnya, sebanyak 78 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dengan lima lokaliti 'hot spot' ditemui iaitu di Projek Perumahan Rakyat(PPR) Desa Tun Razak dan PPR Taman Mulia di Cheras, Flat Taman Gembira dan Taman Sri Petaling di Klang Lama, dan di Seksyen 35 (Teres B Alam Impian) di Klang. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan