MCA Jelaskan Tiada Pertemuan Untuk Bergabung Dengan Gerakan & SUPP

Diterbitkan: Rabu, 30 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata adalah tidak benar kononnya parti itu telah mengadakan perbincangan tentang kemungkinan penggabungan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain seperti Gerakan dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Dalam wawancara yang disiarkan oleh akhbar Oriental Daily pada Selasa, Dr Chua berkata: "Saya tidak mengatakan bahawa MCA sama sekali tidak akan bergabung dengan Gerakan, tetapi pada masa ini tiga parti komponen BN berasaskan kaum Cina ini tidak terlibat dalam perbincangan mengenai penggabungan.

"Ketika ini, tiada sebarang pertemuan, ataupun perbincangan mengenai perkara itu," kata beliau dalam wawancara berkenaan.

Dr Chua mengulas laporan yang disiarkan oleh beberapa akhbar berbahasa Cina hujung minggu lepas bahawa beliau telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan mengenai kemungkinan penggabungan ketiga-tiga parti berkenaan.

Menurut laporan itu, pertemuan berkenaan diadakan di Sarawak baru-baru ini untuk meneroka kemungkinan penggabungan antara parti komponen BN berasaskan kaum Cina dan menjadikannya sebuah entiti baru yang dianggotai pelbagai kaum dalam usaha meraih sokongan lebih besar.

Laporan itu juga menyebut bahawa cadangan berkenaan disuarakan berikutan susulan peralihan yang ketara dalam sokongan kaum Cina terhadap pembangkang sejak pilihan raya umum 2008 dan ini menimbulkan kebimbangan di kalangan kepimpinan tertinggi parti terbabit memandangkan jika trend seperti itu berterusan, ia akan membawa kesan besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam pilihan raya umum lepas, MCA hanya memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandinginya manakala Gerakan pula hanya memenangi dua daripada 12 kerusi Parlimen selain kehilangan kuasa memerintah di Pulau Pinang.

Di samping itu, SUPP mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April tahun ini setelah kalah 13 daripada 19 kerusi yang ditandinginya.

Dr George yang juga timbalan ketua menteri ketika itu, kalah kepada muka baru daripada DAP, Ling Sie Kie di kubu kuatnya sendiri di Piasau.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha ketika dihubungi menyuarakan rasa terperanjat berhubung laporan itu.

"Saya tidak pasti tentang adanya perbincangan seperti itu. Saya berada di UK untuk tugas rasmi sejak seminggu lepas," katanya.

Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow, yang dihubungi, turut menafikan terdapatnya perbincangan sedemikian manakala Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sim Kheng Hui berkata beliau juga tidak tahu menahu adanya perbincangan seperti itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan