ERL Unjur Jumlah Penumpang Yang Lebih Baik 2012

Diterbitkan: Rabu, 30 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), penyedia perkhidmatan tren berkelajuan tinggi antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yakin jumlah pengguna KLIA Express dan KLIA Transit akan terus meningkat tahun depan sebaik sahaja perkhidmatan rel dilanjutkan ke terminal penerbangan kos rendah yang baharu KLIA2.

Pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata: "Kami yakin penumpang akan meningkat dengan siapnya hubungan 2.2 kilometer menjelang Oktober tahun depan".

Beliau berkata, penumpang antara Januari dan Oktober meningkat 16 peratus kepada kira-kira 13,095 berbanding 11,621 penumpang yang menggunakan tren dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima persijilan ISO 9001:2008 oleh Llyod's Register Quality Assurance, bagi pihak ERL, Mohd Nadzmi berkata hubungan rel itu kini 14.2 peratus siap dan apabila siap sepenuhnya, penumpang boleh bertolak dari terminal utama ERL di KLIA dan tiba di KLIA2 dalam tempoh tiga minit.

Sementara itu, beliau berkata ERL ialah pengendali tren pertama di Malaysia yang diberikan persijilan ISO untuk kepuasan pengguna secara total.

"Dengan persijilan itu, pengguna kami boleh yakin yang ERL komited untuk mengekalkan standard tertinggi kecekapan dalam mencapai matlamat kami," tambah beliau.

Mohd Nadzmi juga berkata yang ERL telah melabur RM1.1 juta untuk melaksanakan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengalaman pengguna yang termasuklah penambahbaikan sistem pengumpulan tambang, sistem e-tiket dan saling hubung Wi-Fi percuma.

Beliau menambah yang inisiatif itu juga termasuklah hiasan semula dalaman 12 tren KLIA Express yang dijadual siap April tahun depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan