CIMB Cadang Perluas Operasi Ke Sri Lanka

Diterbitkan: Rabu, 30 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: CIMB Group, bank pelaburan antarbangsa pertama yang membuka pejabat di Sri Lanka, sedang mempertimbang untuk memperluas perniagaan pembrokeran saham dan perbankan di negara itu.

Ketua Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Nazir Razak berkata, kumpulan itu, yang memulakan operasinya di Sri Lanka tahun ini, kini menyediakan khidmat nasihat koprorat dan perbankan pelaburan.

"Modal kami kecil, berjumlah AS$2 juta sahaja, yang melibatkan pengambilan orang bagi kerja menasihat di Sri Lanka," katanya pada persidangan "Invest Sri Lanka: Opportunities in a New Era" anjuran bersama CIMB Group dan Bursa Saham Colombo.

CIMB Group memegang 51 peratus kepentingan dalam modal saham usaha sama itu melalui anak syarikat milik penuhnya, CIMB Securities International Pte Ltd, manakala 49 peratus selebihnya dipegang oleh Lovell and Dangalla.

Ekonomi Sri Lanka berdaya tahan dengan pertumbuhan purata keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.8 peratus sejak 30 tahun lalu.

Kerajaan Sri Lanka menyasarkan untuk menggandakan KDNK per kapita kepada US$4,000 menjelang 2016 dan mencecah US$6,000 per kapita dalam 10 hingga 12 tahun, bersamaan dengan KDNK per kapita Malaysia pada 2009.

Gabenor Bank Pusat Sri Lanka, Ajith Nivard Cabraal, berkata keganasan telah dihapuskan sama sekali di negara itu.

Katanya, kerajaan Sri Lanka terbuka kepada syarikat asing yang mahu memulakan operasi di Sri Lanka, dengan keutamaan diberikan kepada bank, yang boleh menyediakan kemudahan kredit bagi pembangunan prasarana dan perusahaan kecil dan sederhana.

Pengerusi Bursa Saham Colombo, Krishan Balendra, berkata sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk merangsang pasaran modal, Sri Lanka telah melonggarkan syarat pelaburan asing dan di samping itu menawarkan insentif tambahan.

"100 peratus pelaburan asing dalam mana-mana dagangan komersial dan kegiatan industri dibenarkan, kecuali bagi beberapa sektor khusus," katanya kepada peserta-peserta seminar itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan