Rakyat Malaysia Sahut Cabaran Buka Restoran Di Jerman

Diterbitkan: Selasa, 29 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HEIDELBERG: Sebuah restoran Malaysia yang dijadual dibuka di sini pada 1 Disember, bukan hanya memenuhi citarasa pengunjung tetapi juga mempromosikan masakan Malaysia di Jerman.

Restoran Malaysia baru ini yang dinamakan "Serai", merupakan restoran Malaysia kelima di negara Jerman.

Sebelum ini sudah terdapat dua restoran Malaysia di Munich dan masing-masing sebuah di Frankfurt dan Hamburg.

Pengusaha restoran "Serai" Juliah Rais-Morres berkata, restoran tersebut dilihat sebagai satu "langkah utama" yang boleh meningkatkan tahap kesedaran orang tempatan terhadap masakan Malaysia.

"Oleh kerana masakan Malaysia tidak diketahui dengan meluas di Jerman, saya yakin bahawa ini satu potensi yang besar untuk menjadi lebih dikenali di negara ini," katanya kepada Bernama di premis restoran itu yang baru diubahsuai.

Juliah, yang berasal dari Negeri Sembilan, telah menetap di Jerman selama 22 tahun dan berkahwin dengan seorang rakyat negara ini yang berkhidmat dalam sektor teknologi maklumat di pejabat buruh tempatan, Uwe Morres.

Walaupun beliau berkelulusan senibina lanskap dan berkhidmat setahun setengah di Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sembilan, beliau banyak mendapat pendedahan mengenai masakan dan penyediaan makanan sejak kecil lagi daripada keluarganya.

Ayah Juliah mengusahakan sendiri perniagaan makanan dan kakaknya cekap dalam memasak, memberikannya latihan yang tidak ternilai dalam mengendalikan perniagaan makanan.

Kecintaan dalam memasak membolehkan Juliah menceburkan diri dalam perniagaan penyediaan makanan yang seiring dengan kerjanya sebagai seorang arkitek.

Dalam menyediakan makanan untuk individu yang meminati makanan Malaysia secara persendirian, beliau telah digesa agar memulakan perniagaan restorannya sendiri yang mengkhususkan makanan Malaysia.

Di samping itu, beliau juga mengajar memasak hidangan Malaysia di sekolah pendidikan dewasa tempatan di Heidelberg dan katanya, galakan daripada ramai rakyat Jerman untuk perniagaan itu menguatkan lagi kepercayaannya bahawa hidangan Malaysia akan diegmari di bandar raya ini yang mempunyai ramai penuntut antarabangsa serta masyarakat ekspatriat yang terdedah dengan hidangan asing.

Juliah bercadang memperkenalkan masakan Malaysia seperti sate, roti canai dan rendang serta masakan Malaysia lain di restorannya itu.

"Saya tidak akan bergantung kepada rakyat Malaysia sahaja untuk perniagaan saya. Sesungguhnya, pelanggan saya adalah kebanyakan rakyat Jerman yang memang biasa dengan hidangan Asia dan akan menghargai kepelbagaian hidangan Malaysia," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan