Pesawat Pejuang Tercanggih Eropah Dipamer Di Lima

Diterbitkan: Selasa, 29 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: BAE Systems, syarikat pertahanan dan keselamatan dunia, pada Selasa mengumumkan bahawa pesawat pejuang Eurofighter Typhoon akan dipamerkan pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima) ke-11.

Eurofighter Typhoon, pesawat kombat pelbagai fungsi (MRCA) paling canggih di dunia, akan mengetengahkan keupayaannya dalam penerbangan pertunjukan.

Replika penuhnya akan dibuka untuk dipertontonkan kepada pengunjung Lima, yang berlangsung dari 6 hingga 10 Disember nanti.

Eurofighter kini digunakan oleh pasukan tentera udara Austria, Jerman, Itali, Sepanyol, United Kingdom dan Arab Saudi.

Pesawat itu dikeluarkan oleh BAE Systems dan tiga rakan Eropahnya, Cassidian Jerman dan Sepanyol, selain Alenia Aeronautica Itali.

Dengan Lima 2011 dijangkakan yang terbaik dalam siri pamerannya, BAE Systems berkata, ia merancang memperkukuh hubungan dan sokongan dalam pertahanan Malaysia pada masa akan datang dengan mempamerkan keupayaan senapang udara dan laut moden pada pameran itu.

"Lima sentiasa merupakan acara penting dalam kalendar acara kami, setelah menyertai 11 pameran setakat ini.

"Ia merupakan acara yang penting dan platform utama BAE Systems memperkukuh hubungan dengan kerajaan Malaysia, menjalin hubungan yang memberi manfaat bersama dengan pemegang kepentingan industri serta mempamer pelbagai keupayaan kami," kata Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan BAE Systems Alan Garwood dalam satu kenyataan.

Selain Eurofighter Typhoon, pengunjung ke Lima juga berpeluang menyaksikan produk dan perkhidmatan utama BAE Systems, termasuk senapang Bofors 40 Mk4 40mm dan Q-SIGHT, serta topi kaledar canggih (HMD).

Kedua-duanya akan dipamerkan pertama kali di Asia Tenggara selain model Jet Pelatih Canggih Hawk, generasi terbaharu pesawat latihan paling berjaya di dunia.

Menerusi hampir 1000 pesawat dijual atau ditempah, Hawk diguna untuk melatih juruterbang dari lebih 20 negara di dunia, termasuk Malaysia.

selain itu, senapang Bofors 57Mk3 dan Lemur, sistem persenjataan kawalan remote akan dipamerkan di ruang pameran Boustead.

Q-SIGHT akan dipamerkan di ruang Carl Zeiss Optronics, rakan BAE Systems dalam pembangunan HMD Systems berprestasi tinggi.

BAE Systems sudah wujud di Malaysia selama lebih 20 tahun menerusi pembukaan ibu pejabat serantau Asia Tenggara di Kuala Lumpur.

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan BAE Systems di Malaysia, syarikat itu juga sedang mengenal pasti peranan pentingnya dalam ekonomi, teknologi dan pembangunan kapasiti di Malaysia bersama PKS inovatif, agensi kerajaan serta institusi akademik utama.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan