KLIA2 Terminal Terbesar Dunia Untuk Penerbangan Kos Rendah

Diterbitkan: Selasa, 29 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Terminal penerbangan tambang rendah yang baharu, KLIA2, dengan kemudahan kelas dunia untuk mengendalikan 45 juta penumpang setiap tahun, dijangka menelan kos antara RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion dan akan memulakan operasi pada bulan April 2013.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Tan Sri Bashir Ahmad berkata, jambatan udara yang akan dibina adalah mesra penumpang termasuk mereka yang kurang upaya, wanita mengandung dan kanak-kanak.

"Kami berharap syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA2 akan menyokong keputusan kami dengan menggunakan jambatan udara memandangkan berdasarkan kos kiraan hanyalah 25 sen setiap penumpang dan orang awam telah menunjukkan kesanggupan untuk membayar bagi penggunaan jambatan udara," kata beliau kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas lawatan menyaksikan pembinaan kompleks KLIA2 itu, pada Selasa.

Bashir berkata, kerja-kerja pembinaan KLIA2 itu yang meliputi kawasan seluas 257,000 meter persegi dan telah bermula pada Oktober 2009, kini siap 42 peratus dan akan mempunyai 68 balai berlepas.

Ia adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung penumpang penerbangan tambang rendah seperti yang dikehendaki oleh standard industri.

Beliau juga berkata, landasan ketiga yang baru dengan kelebaran 4 kilometer kini sedang dibina untuk KLIA2, yang akan mampu menerima pesawat A380, pesawat penumpang terbesar dunia.

KLIA2 hanyalah 1.5 kilometer dari bangunan terminal utama KLIA, dan jejambat/laluan atas yang baharu sedang dibina bagi menghubungkan jalan utama dari KLIA ke KLIA2 yang bermakna KLIA2 adalah lebih dekat berbanding LCCT.

Ditanya sama ada terdapatnya kos yang berlebihan dan penangguhan dalam operasi lapangan terbang, beliau berkata lebih banyak masa akan diambil untuk membina apa yang pastinya merupakan terminal terbesar dunia untuk penerbangan kos rendah dengan kemudahan yang terbaik.

"KLIA2 dibina pada kos terendah untuk setiap penumpang dengan jambatan udara dan keselesaan penumpang yang dipertingkatkan termasuk sistem bagasi automasi sepenuhnya," kata beliau.

Ia juga akan mempunyai 6,000 tempat letak kereta bertingkat dan berbumbung, empat buah hotel, hotel transit, jambatan udara dan ruang komersil yang lebih luas untuk kawasan runcit.

Perkhidmatan ERL yang ada sekarang ini yang beroperasi dari KL Sentral ke terminal utama KLIA, akan dilanjutkan 2.2 kilometer lagi, untuk dihubungkan ke KLIA2.

Beliau juga berkata yang MAHB telah memberikan AirAsia, pengguna utama KLIA2, pengagihan khas untuk membina ibu pejabatnya beserta dengan "apron access" serta Tune Hotel.

Beliau juga berkata caj servis penumpang tidak akan dinaikkan tetapi MAHB mempunyai pilihan untuk membincangkannya dengan kerajaan setiap lima tahun dan pusingan perbincangan akan datang hanya boleh diadakan pada tahun 2014.

Beliau menafikan cadangan yang dana awam telah digunakan untuk membina KLIA2, sambil menyatakan yang MAHB telah mengumpul dana untuk projek ini daripada pasaran termasuklah RM3.1 bilion, yang mana RM600 juta masih lagi belum digunakan.

Beliau berkata, MAHB telah meninjau kemungkinan mengumpulkan modal daripada pasaran di mana ia mempunyai pilihan untuk melakukan penempatan persendirian sehingga 10 peratus tanpa perlu mendapatkan persetujuan pemegang saham di mesyuarat agung tahunan.

Mengenai laporan menyatakan yang ia mungkin disingkirkan, Bashir berkata:" bagaimana anda mahu saya memberi maklum balas kepada soalan itu?"

Beliau juga berkata yang kesemua urusannya dengan kerajaan, pemegang saham, pemegang kepentingan serta syarikat penerbangan termasuk AirAsia, MAHB sentiasa terbuka, telus dan profesional.

Mengenai aduan oleh ketua Airasia, Tan Sri Tony Fernandes yang syarikat penerbangan tambang rendah itu tidak tahu mengenai perkembangan KLIA2, Bashir berkata MAHB mengadakan mesyuarat setiap minggu dengan kesemua rakan niaganya di mana segalanya dibincangkan dan tiada alasan untuk mereka tidak mengetahui apa yang sedang berlaku.

Bashir juga berkata yang MAHB sedang mengadakan perbincangan dengan Qantas mengenai kemungkinan mereka menyambung semula operasi dari KLIA.

Beliau berkata, MAHB mengendalikan tender terbuka untuk memberikan projek-projek di KLIA2.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan