Puteri Umno Akur, Sedia Tangani Kelemahan

Diterbitkan: Isnin, 28 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno mengakui kelemahan sayap parti ketiga dari aspek keupayaan untuk bertindak dengan berkesan mengikut citarasa generasi muda pada hari ini.

Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sebagai sayap yang baru berusia 10 tahun, banyak lagi perkara yang perlu dipertingkatkan.

Katanya, Pergerakan Puteri Umno ditubuhkan dengan objektif sebagai medan untuk melahirkan para pemimpin muda di kalangan wanita juga harus dijadikan sebagai asas penambahbaikan di masa hadapan.

"Mana-mana pergerakan akan mempunyai kelemahan (sama ada) mana-mana bentuk kepimpinan, parti politik atau sayap pasti ada kelemahan tersendiri.

"(Puteri) mengakui dan menyedari kelemahan kami. Selaku Ketua Pergerakan Puteri Umno, saya dan barisan exco akan berusaha untuk menangani kelemahan ini. Salah satu aspek yang paling jelas adalah mesej program yang kurang dilihat keberkesanannya," kata Rosnah ketika menjawab kritikan Timbalan Presiden Umno terhadap sayap itu baru-baru ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Pergerakan Pemuda dan Puteri agar memberi tumpuan terhadap usaha memperingkatkan tanggungjawab bagi memantapkan lagi peranan generasi muda dalam Umno.

Rosnah bagaimanapun tidak bersetuju jika didakwa kurang melaksanakan program, sepanjang 2009 hingga kini, Pergerakan Puteri Umno mengadakan lebih 60 program di peringkat kebangsaan dengan banyak lagi program-program dikendalikan hampir setiap minggu di peringkat bahagian.

Menurut beliau, Puteri menumpukan kepada objektif perlaksanaan program efektif bagi mendekati semua golongan sasaran yang telah digariskan.

Antaranya adalah program berorientasikan pendidikan, kesukarelawanan dan kesihatan dengan 18 program utama di bawah cogan kata 'Puteri Jiwa Rakyat' seperti pertandingan futsal, projek prihatin dan lawatan ke hospital serta klinik bergerak.

"Di samping itu, kami juga mengadakan program hijau untuk menarik minat generasi muda. Yang penting, Puteri tidak akan berhenti daripada turun ke bawah dan menemui golongan sasaran. Kami merasakan lebih baik jika dapat berjumpa seramai pengundi dan golongan muda yang mungkin," katanya.

Mengenai pendaftaran ahli baru pula, Rosnah memberitahu seramai 90,000 ahli didaftarkan sepanjang 2009 sehingga kini yang menjadikan jumlah keanggotaan Pergerakan Puteri Umno setakat ini kepada 365,108 orang. Daripada jumlah itu, 289,818 adalah pengundi berdaftar.

Sementara itu, Rosnah berkata, sempena Perhimpunan Agung Umno ke-62 kali ini, Pergerakan Puteri Umno telah bersetuju untuk membawa satu usul iaitu untuk menyokong ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia daripada aspek ekonomi, sosial, agama dan politik dengan pengkhusan perbincangan mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Dijangka 970 perwakilan daripada 191 bahagian akan hadir ke Perhimpunan Agung Puteri Umno kali ini.

"Tahun ini juga, kita akan menggunakan Dewan Merdeka - yang terbesar sekali. Selain topik persediaan, Puteri akan membahaskan isu berhubung transformasi selain pengupayaan dan pemerkasaan ahli Pergerakan Puteri Umno ke arah usaha tersebut," katanya selepas melancarkan taklimat dan Misi Bantuan Prihatin di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di sini, Isnin.

Misi Bantuan Prihatin (MBP) yang digerakkan Skuad VOGUE bertujuan untuk memberi perkhidmatan bantuan kepada orang awam apabila berlaku bencana atau kecemasan seperti banjir, ribut dan tanah runtuh.

Fokus MBP adalah dari segi perkhidmatan kesihatan dan perubatan.

Bagi membentuk skuad VOGUE (Voluntary Group for Everyone) yang terlatih dan efektif, MBP turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) selain dibantu sukarelawan Karyawan dan Seniman.

Sempena Perhimpunan Agung Umno tahun ini juga, Pergerakan Puteri turut melancarkan Skuad Gagasan 1Malaysia pada Rabu ini selain buku pengetahuan asas pertolongan cemas dan penyampaian enam Anugerah Khas keahlian tertinggi yang dinilai berdasarkan peratusan penambahan ahli di peringkat negeri dan bahagian.

Turut ditawarkan adalah lima Anugerah Khas Pencapaian Generasi Muda mengikut kategori agama, pendidikan, sukan, keusahawanan dan seni.

Di samping itu, Pergerakan Puteri Umno juga menganjurkan kempen menderma darah dan pendaftaran sebagai penderma organ mulai Selasa hingga Sabtu ini.

Selain itu adalah pelancaran Portal Biro Usahawan & Pemantapan Ekonomi Puteri Malaysia (BUPEM), kedai amal Pre LOVE Charity Shop serta gerai jualan dan kaunter produk yang diusahakan oleh ahli Puteri.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan