Saya Tidak Pernah Rehat & Saya Bukan Rasis - Muhyiddin

Diterbitkan: Sabtu, 26 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Berikut adalah sedutan sidang media khas Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 yang akan bermula minggu depan.

SOALAN (S): Perhimpunan kali ini dianggap sebagai mungkin yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan yang terbesar kerana perwakilan bertambah. Apakah fokus perhimpunan.

JAWAPAN (J): Ini akan merupakan perhimpunan amat penting. Kita tidak tahu bila pilihan raya umum akan dilaksanakan sebab itu perhimpunan terbesar orang Melayu. Ini merupakan satu perhimpunan yang tentunya akan bukan sahaja akan menarik perhatian masyarakat Malaysia, orang Melayu khususnya tapi orang lain juga dan antarabangsa.

Keduanya disebabkan ini mungkin perhimpunan yang dikatakan dekat pilihan raya maka apa sahaja perkara yang akan dibicara dalam perhimpunan akan diberikan perhatian terutama oleh Umno sendiri tentang apakah kita akan dilihat sebagai parti yang berwibawa, parti yang dikatakan masih relevan dengan perjuangan semasa orang Melayu dan rakyat Malaysia ataupun sebaliknya.

Tentu juga ia akan menjadi tumpuan dan perhatian orang Melayu sendiri sama ada Umno ini parti yang sejak awal lagi dikatakan membela kepentingan orang Melayu, masih lagi meletakkan asas yang paling utama dalam perjuangannya untuk membela perjuangan masyarakat Melayu dan apakah parti ini sudah menjalani proses perubahan atau pun transformasi yang diharapkan selepas kita menjalani PRU-12, 2008.

Pendek kata hasil perbincangan akan diteliti oleh segenap peringkat masyarakat Melayu dan bukan Melayu dan juga penting apakah selepas perhimpunan ini akan timbul satu kesedaran baru daripada orang Melayu sendiri tentang pentingnya keputusan Umno ini.

S: Pengalaman lepas banyak isu yang dibincang (pada Perhimpunan Agung Umno) keluar daripada dewan dan menjadi sentimen masyarakat.

J: Saya melihat format ini tidak banyak berubah walaupun dikatakan perhimpunan ini tertutup dalam erti kata yang menyertai dalam perbahasan itu adalah perwakilan yang terpilih saja.

Tetapi format yang diamalkan sejak tujuh hingga lapan tahun dulu di mana peserta yang datang dari luar, datang untuk mendengar perbahasan dan kalau dilihat masa lepas ada layar putih di situ dan semua pihak dapat ikuti perbincangan.

Bermakna kita bersikap terbuka dalam soal apa yang kita bahaskan, tidak ada sesuatu yang mahu kita selindung kerana kita harus bersikap telus walaupun ia akan sentuh banyak soal kepentingan orang Melayu, kepentingan masa depan orang Melayu tetapi kita juga harus faham bahawa peranan Umno khususnya dalam kerajaan itu adalah utama kerana kita jadi parti teras dalam BN.

Sebab itu perwakilan yang akan suarakan apa sahaja pandangan akan mengambil kira bukan saja soal menjaga dan memelihara kepentingan orang Melayu, juga kepentingan rakyat dan kaum yang lain.

Jadi bagi saya ini suatu amalan yang sudahpun kita mulakan dan kita akan teruskan, tidak ada sekatan untuk mereka mendengar di luar untuk media membuat liputan yang dikatakan meluas seperti biasa.

S : Setiap tahun isu yang dibahaskan perwakilan hampir sama setiap tahun, isu dalaman, agenda Melayu sentiasa menjadi antara isu utama.

J: Saya tidak boleh meramalkan apa yang hendak dibicarakan, tetapi percaya akan ada kelainan kerana ini telah kita tanamkan dalam fikiran mereka bahawa pilihan raya akan datang tidak serupa, berbeza dan persiapan kita bukan biasa, mesti lebih daripada biasa.

Cara hendak tangani masalah rakyat tidak boleh dilihat seperti yang lepas, kita kata kenapa tidak sokong, kita dah lama beri pelbagai kemudahan, negara maju kerana BN dan sebagainya, itu "argument" (hujahan) tidak boleh macam masa-masa lepas, kita kena tunjukkan pendekatan berbeza, contohnya dalam nak menangani masalah ekonomi rakyat jelata.

Kalau kita nak yakinkan (convince) rakyat, kita tak boleh hanya cakap saya akan tolong, akan bantu selesaikan masalah, kita tidak mahu mendengar itu semua lagi tapi mahu tahu cara bagaimana, apa buktinya, kalau tak boleh terlaksana, mereka tidak akan percaya pada kita.

Jadi sebab itu jawapan pada apa pun isu yang berbangkit ialah mesti ada keikhlasan kita, bila kita ikhlas orang akan lihat bahawa kita berbuat sesuatu bukan muslihat politik tapi ada kepentingan untuk membantu rakyat.

S: Nasihat kepada pembahas.

J: Dia harus lebih profesional, harus faham isu lebih mendalam daripada biasa dan tidak bersifat retorika dalam penyampaian, mesti ada pendekatan, nafas, kandungan (content) baru tapi mesti ada asas data-data yang lengkap.

Kena sedar bukan berbahas hanya di depan tiga ke empat ribu perwakilan, setiap satu perkataan disebut didengar jutaan manusia di luar, mereka bijak pandai, mereka tahu mereka bermaklumat, kita jangan perkecilkan minda mereka.

Jadi jawapan yang hendak diberikan dalam hujah perbahasan mesti menyakinkan, mesti buat banyak kajian dan asas serta bukti yang kukuh.

S: Sesetengah pihak mendakwa Umno menjadi semakin 'rasis' sekarang dan Tan Sri juga menjadi lebih 'rasis' sekarang.

J: Itu tanggapan saja. Saya tidak pernah berubah daripada bersikap dan pendirian saya dalam soal ini soal perjuangan orang Melayu dan juga rakyat Malaysia.

Maka bagi saya kalau timbul pun soal begitu umpama ada pihak parti pembangkang yang menconteng kita dengan satu gambaran seolah-olah kita ini lebih cauvinis.

Sedangkan parti seperti DAP adalah terlalu cauvinistik Cinanya, siapa tidak tahu mengenai sikap Lim Kit Siang dan Guan Eng yang lebih membicarakan soal satu kaum shaja.

Umno tidak membicarakan kepentingan soal kaum Melayu sahaja tetapi kita mengambil kira agenda Melayu yang masih panjang yang perlu kita selesaikan.

Jadi bila kita membicarakan soal kepentingan Melayu itu tidak bermakna kita bersikap rasis kerana kelompok terbesar dalam masyarakat Malaysia mahu tidak mahu diiktiraf Melayu bumiputera dan Islam.

Dan kelompok besar seperti ini terabai dan rasa tidak terbela apa lagi pemimpin tidak menyuarakan soal itu takut-takut dilabel sebagai cauvinis atau perkauman, maka itu sudah lari daripada asas perjuangan kita.

Jadi ini permainan pihak parti pembangkang supaya kami dilihat sebagai terlalu perkauman, parti kami parti perkauman, sedangkan parti mereka lebih perkauman.

S: Mengenai perjuangan Melayu dan 1Malaysia, ada pihak menganggap perjuangan hak Melayu tersekat disebabkan gagasan ini.

J: Saya tidak fikir begitu kerana ia sebenarnya selari dengan tuntutan semasa untuk menjamin kelangsungan perjuangan negara dan dalam konteks ini kita tidak boleh pisahkan perjuangan orang Melayu dengan perjuangan untuk memartabatkan bangsa dan negara kita.

Dan disebabkan itu gagasan ini secara terangkumnya kepentingan perpaduan antara kaum menunjukkan kesatuan daripada segi pemikiran dalam soal kita hendak membangunkan negara dalam semua bidang dan mengambil kira ketelusan, sikap kita yang lebih adil dan saksama sudah kita amal sebelum ini dan teruskan pada masa hadapan dan terkandung juga dalam gagasan 1Malaysia.

Jadi bila kita bicarakan soal itu tak bermakna kita abaikan perkara yang mejadi asas terbentuknya Umno itu untuk membela nasib bangsa kaum Melayu dan juga bumiputera yang menjadi pendokong utama dalam negara kita.

Itu mungkin persepsi kerana kita nak menangani soal politik pasca 2008, tsunami besar. Kita harus ambil kira apa perubahan cara berfikir bukan saja masyarakat Melayu tetapi masyarakat Malaysia.

Jadi Umno menyesuaikan keadaan supaya kita tak terlihat ke belakang ataupun kita tidak selari dengan perkembangan masa tetapi asas perjuangan untuk membela orang Melayu tidak pernah orang kata letakkan kedua.

S: Orang Melayu dan kaum lain masih boleh harapkan Umno.

J: Jawapannya ya. Walaupun saya agak prejudis kerana saya pemimpin Umno tapi saya banyak pengalaman politik dari dulu sejak sekarang.

Saya tidak tahulah kalau kita lihat satu satu parti Melayu yang dikatakan selain Umno kononnya hendak perjuangkan nasib Melayu.

PKR contohnya kemelut politik yang berlarutan, imej penasihat dan pimpinan yang banyak tercalar... isu-isu yang bertentangan dengan kepentingan Melayu kerana mereka hendak ambil sikap yang lebih terbuka sebagai pejuang Melayu sedangkan merekaa tahu Melayu masih perlu pembelaan.

PAS sudah jadi kacau-bilau, dia sudah lari daripada landasan asal. Walaupun dia kata dia parti Islam, dia bukan parti Islam, dia guna simbol Islam sahaja. Asas perjuangan hari ini sudah lari daripada itu.

Dari negara Islam sudah jadi negara berkebajikan tapi tak ada kebajikan apa yang dibuat, air kotor Kelantan pun tak boleh selesai dan banyak isu lain.

Kompromi prinsip perjuangan atas nama Islam kerana nak bersekongkol dengan DAP. Memang tak sebulu, hudud contoh isu tidak boleh sepakat.

Hendak meletak harapan Melayu kepada parti-parti selain daripada Umno itu pengorbanan yang agak sia-sia.

Jadi jika itu halnya, orang Umno kena sedar Melayu masih hendakkan kita tapi ada kelemahan kita perlu perbaiki.

S: Banyak pemimpin Umno sibuk cakap pasal sabotaj. Adakah masalah ini begitu teruk kerana ramai pemimpin cakap perkara ini?

J: Ini kita lihat kepada mungkin pengalaman yang lepas terutama pada pilihan raya 2008 di mana disebabkan mereka tidak puas hati dengan calon-calon yang diletakkan di kawasan-kawasan tertentu, maka disebabkan itu ada bukti-bukti sabotaj...yang ini sebahagian pun kita sudah kenal pasti dalam masa kita membuat post-mortem yang lepas dan kesan daripada itu ialah kekalahan kita.

Kekalahan kita itu bukan kerana kuatnya pihak pembangkang tetapi kerana ada masalah dalaman dalam beberapa kawasan tertentu.

Jadi, bila disuarakan jangan sabotaj itu bermakna pengalaman lepas itu jangan berulang lagi lebih-lebih lagi kerana kita anggap pilihan raya yang kita akan hadapi akan datang ini, orang kata "mother of all elections - ibu bagi segala pilihan raya umum" kerana kita sudah baca dan saudara dalam media pun tahu situasi pilihan raya sekarang berbeza sekali dengan pilihan raya lepas.

Sebab itu, satu faktor yang kita ambil kira ialah faktor dalaman parti.

Faktor kepimpinan di dalam Umno khususnya di peringkat bahagian, peranan ketua bahagian, peranan timbalan, peranan Pemuda, Wanita, Puteri kita ambil kira supaya mereka faham.

Kalau mereka tidak menyedari gentingnya kita ini berada, contohnya di puncak (yang) keadaan mungkin (ada) salju dan kalau tidak dijaga, kita boleh tergelincir ke bawah dan sukar untuk kita bangun balik kerana kita hilang kuasa.

Jadi bila kita katakan jangan sabotaj, bukan setakat jangan sabotaj, jangan tak sokong. Lebih daripada soal itu, kita hendak supaya mereka bekerja keras, lebih-lebih lagi kalau nak mempertahankan kuasa politik kita dan kita kekal dalam kerajaan.

S: Tun Dr Mahathir (Mohamad) ada sebut masih awal untuk membuat pilihan raya dan Menteri Besar Selangor pula kata dia tidak akan bubar DUN (Dewan Undangan Negeri) sebelum Jun 2012, apa sebabnya, kita (BN) belum bersedia?

J: Nak kata kita belum bersedia, saya tidak boleh berkata begitu pasal kami dalam parti seperti Umno atau BN mesti harus bersedia sepanjang masa.

Sebab itu semua peringkat, saya bertanggungjawab sebagai pengerusi pengurusan parti sudahpun menubuhkan jentera pilihan raya dan saya telah selesai mengadakan pertemuan dengan semua komponen parti dan daripada laporan itu, semua sudah pun tahu tentang persiapan-persiapan yang perlu dibuat bukan sahaja di peringkat nasional, peringkat negeri tetapi di peringkat akar umbi - itu sudah ada sampai kepada apa yang kita sebutkan, peti undi peringkat daerah mengundi - itu yang kita dah sediakan tetapi apa pun keputusan, sedia, tidak sedia, ukurannya akan ditetapkan oleh Datuk Seri Najib (Tun Razak) sebagai presiden Umno.

Soal sama ada negeri-negeri di bawah pakatan atau pembangkang mahu mengadakan pilihan raya bersama atau tidak, itu terserah kepada mereka. Saya sudah membaca kenyataan daripada (Menteri Besar Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) di Kelantan kata kalau ada pilihan raya tahun depan, dia akan ada bersama.

Negeri Selangor pula berbeza, Pulau Pinang pun berbeza, makna dalam soal ini, sudah satu kenyataan mereka tidak sepakat, mereka tak tahu macam mana, sama ada ada keuntungan bagi mereka buat bersama ataupun biarkan merupakan kerugian - dia belum tahu nak menilai.

Bagi kita dalam BN sejak dulu lagi kita buat bersama, saya tidak ambil kira soal SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) kata dia kena tanggung kos lebih. Kalau dah tak dibubar Dewan Undangan Negeri, Parlimen bubar, itu dia kena hadapilah pasal suruhanjaya bertanggungjawab untuk menguruskan pilihan raya.

Bagi kami, dia nak bubar sama ke tak bubar sama pun, bagi saya kita akan hadapi, mungkin ada baik juga kalau dia tak bubar bersama ataupun kalau bubar bersama, kita sudah ada pengalaman...jadi dia takut nak bubar sekali itu, setidak-tidaknya kalau dia kalah Parlimen, negeri dia ada lagi pasal kononnya Dewan Undangan Negeri tak bubar lagi.

Tetapi kita pula, kalau dah menang, InsyaAllah...ada masa pula untuk tumpu kalau diadakan pilihan raya di peringkat negeri di mana negeri lambat. Jadi bagi kami tiada masalah, dia nak adakan sekali ataupun berbeza, itu soal dia.

S: Gaya pembangkang berdepan dengan BN sekarang seolah-olah macam PRU ke-13 ini yang terakhir untuk BN?

J: Itu cara yang saya percaya memang sengaja dilakukan walaupun dia (pembangkang) tidak lagi melaungkan slogan "Jalan ke Putrajaya" pasal agaknya makin lama makin kabur jalan itu kerana mereka tahu ada perubahan sikap di bawah.

Contoh, waktu mana PM dan saya turun ke gelanggang, turun ke padang, respons yang secara spontan tidak diasak oleh macam mana cara nak membawa orang ramai.

Itu menggambarkan satu perubahan baru, sikap baru di kalangan ramai pengundi, Melayu, bukan Melayu, jadi mereka (pembangkang) sedar tentang apa yang sudah berlaku di bawah, jadi sebab itu dalam mereka menyatakan bercita-cita nak mengambil alih dan menumbangkan BN, dia tahu tentangan yang hebat dia akan hadapi daripada kami.

Kami tidak akan baring di atas jalan tanpa membuat apa. Orang kata kita akan berhadapan dengan mereka dengan kekuatan apa sahaja yang ada pada kita, bukan setakat bertentangan dengan mereka tetapi menjelaskan kepada rakyat kerana yang akhirnya penentunya bukan mereka tetapi rakyat kerana rakyat boleh menilai.

Jadi kita ambil satu pendekatan sebegini bahawa ini akan menjadi satu pilihan raya yang paling sengit supaya minda kita sudah bersedia - saya nak menyampaikan kepada setiap pendukung parti (di) bawah (akar umbi), jangan ambil mudah, mereka akan bermati-matian...negeri-negeri yang mereka kuasai, tidak akan mereka lepaskan dengam mudah - PP (Pulau Pinang), Selangor, Kelantan, Kedah dan akan tebus balik kekalahan seperti di Perak.

Sebab itu saya sebut kepada rakan-rakan parti bahawa ini "uphill battle" (pertarungan sukar), uphill battle bukan kerana dia sukar sangat tetapi bukan biasa, jadi kalau kita sudah mulakan (mind) set kita punya pendekatan begitu, maka kita harus bekerja 10 kali ganda.

Saya tidak beristirehat, saya setiap hari turun ke bawah dan setiap kali saya turun ke bawah menjelaskan berita, orang lebih faham.

S: Sayap parti Pemuda, Puteri dan Wanita dilihat tidak seligat dulu.

J: Itu saya akui dan saya percaya bukan saya saja yang berpandangan begitu.

Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri telah menyatakannya dalam Amanat Khas beliau kepada sayap parti baru-baru ini.

Perhimpunan itu diadakan kerana kita mahu mereka sedar, mereka ada peranan lebih utama. Tetapi pandangan masyarakat luar tentang pergerakan Pemuda dan Puteri tidak sebagaimana diharapkan. Itu kita akui.

Mereka belum berupaya secara berkesan untuk bertindak mengikut citarasa generasi muda. Saya tidak nafikan memang banyak program dan aktiviti mereka laksanakan, sama ada itu dapat menyentuh perasaan dan jiwa generasi muda, bahawa ia sesuatu yang memberi faedah kepada mereka.

Sebab itu bagi saya tanggungjawab dan peranan Pemuda dan Puteri dalam soal ini masih penting, mungkin harus diberi tumpuan lebih dalam tempoh bulan-bulan yang mendatang bagaimana hendak menambahbaik lagi peranan generasi muda dalam parti kita.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan