Majlis Peguam Akan Kemuka Cadangan Pindaan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman

Diterbitkan: Sabtu, 26 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Malis Peguam akan mengemukakan cadangan supaya membuat pindaan terhadap Rang Undang-undang Perhimpunan Aman yang dibentangkan di Parlimen pada Selasa lalu.

Menurut Presidennya, Lim Chee Wee dalam satu kenyataan, cadangan itu akan diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Kong pada 29 November ini.

“Rang Undang-undang Perhimpunan Aman adalah jauh lebih ketat daripada undang-undang sedia ada. Rang undang-undang tersebut menggantikan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 di mana memperkenalkan beberapa peruntukan bersifat kontroversi dan bantahan.

“Sebagai contoh, larangan mengadakan protes jalanan (ditarifkan secara meluas sebagai perhimpunan terbuka yang bermula dengan perjumpaan di satu tempat dan disusuli perarakan atau perhimpunan besar-besaran bagi tujuan membantah atau mengemukakan sesuatu atau sebab tertentu,” katanya.

Tindakan Majlis Peguam itu dikenali sebagai ‘Berjalan Untuk Kebebasan 2011: Rang Undang-undang Perhimpunan Aman Tidak Boleh Dan Tidak Sepatutnya Menjadi Undang-undang!’.

Ia melibatkan ahli-ahli Majlis Peguam yang akan berjalan daripada Kelab Taman Perdana Kuala Lumpur ke Parlimen bagi menyerahkan cadangan tersebut.

Kerajaan pada Selasa membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 bagi memberi hak kepada rakyat untuk menganjur dan menyertai perhimpunan secara aman tanpa senjata.

Rang Undang-undang berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat.

Menerusi Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, dinyatakan hak penganjuran dan penyertaan berhimpun secara aman dengan tertakluk kepada sekatan tertentu demi kepentingan negara dan ketenteraman awam.

Bagaimanapun cadangan akta berkenaan tidak terpakai bagi sesuatu perhimpunan membabitkan kempen pilihan raya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta perhimpunan mogok, sekat masuk atau piket di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Akta baru itu turut dengan tegas menyatakan seseorang penganjur akan didapati bersalah sekiranya menganjurkan perhimpunan di mana-mana kawasan larangan dalam jarak 50 meter had tempat larangan.

Individu berumur di bawah 21 tahun serta kanak-kanak berusia di bawah 15 tahun juga tidak dibenarkan menyertai perhimpunan kecuali yang membabitkan perhimpunan keagamaan, adat, perarakan pengebumian serta perhimpunan yang diluluskan Menteri.

Masyarakat bukan warganegara juga adalah dilarang menyertai perhimpunan di bawah akta ini.

Berdasarkan akta baru itu juga memberi kuasa Ketua Polis Daerah bagi sesuatu tempat penganjuran itu untuk mengenakan sekatan tertentu bagi tujuan keselamatan dan ketenteraman awam.

Sekiranya rang undang-undang ini diluluskan, pihak polis juga diberikan kuasa menangkap tanpa waran penganjur dan peserta yang melakukan kesalahan melanggari akta tersebut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan