Kerajaan Wujudkan Ekosistem Ekonomi Bumiputera Lahir Lebih Ramai Vendor Bumi

Diterbitkan: Sabtu, 26 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan ekosistem ekonomi Bumiputera yang lebih meluas yang akan melihat penglibatan syarikat Bumiputera berskala besar membantu dalam membangunkan lebih banyak vendor Bumiputera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu.

Katanya, dengan wujudnya ekosistem ini, ia akan dapat meningkatkan lebih banyak penyertaan syarikat Bumiputera lain.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, salah satu perkara utama yang ditekankan ialah apabila kontrak-kontrak diberikan kepada syarikat-syarikat Bumiputera, mereka hendaklah diberikan margin yang munasabah supaya apabila mereka mendapat kontrak-kontrak ini, ianya akan dapat memberikan kesan dan manfaat kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

"Saya nak ingatkan kepada badan-badan korporat yang besar, sama ada milik kerajaan atau swasta, jangan lepaskan batuk di tangga dalam hal ini," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera di sini, Sabtu.

Sehubungan dengan ini, Najib mengumumkan penubuhan satu unit Bumiputera di bawah MRT Corporation yang merupakan pemilik projek dan sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

Katanya, unit ini dengan kerjasama teraju akan menguruskan proses pemilihan, pengagihan dan pembangunan keupayaan Bumiputera dalam projek myMRT.

Menyentuh tentang Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera, Najib berkata, hala tuju ini merangkumi dimensi baru dasar dan strategi yang bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan sedia ada dari segi tahap pendapatan dan pemilikan kekayaan.

"Matlamat khususnya ialah untuk memastikan bahawa apabila Malaysia mencapai Wawasan 2020, penyertaan Bumiputera dalam ekonomi lebih seimbang, terutamanya di dalam sektor pertumbuhan tinggi, pekerjaan berpendapatan tinggi dan pemilikan syarikat besar. "Pada intipatinya, Hala Tuju ini menggariskan dasar, strategi serta inisiatif khusus untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera," kata Perdana Menteri yang juga Presiden Umno itu.

Katanya, Kerajaan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali jemu mengulangi tentang perlunya negara melakukan transformasi daripada pelbagai aspek untuk memastikan negara bergerak seiring dengan arus perubahan semasa global.

Ini termasuk Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Luar Bandar yang semuanya digubal berlandaskan prinsip 1Malaysia iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan