Isu NFC Terus Disentuh Dalam Konvensyen Wanita PKR

Diterbitkan: Jumaat, 25 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Konvensyen Nasional Wanita PKR yang sedang berlangsung di sini tidak melepaskan peluang untuk terus mengkritik isu yang melanda Pusat Fidlod Kebangsaan (NFC) dengan menyeru ahli-ahlinya terus membuat laporan polis.

Ketua Cabang Wanitanya, Zuraida Kamaruddin yang acap kali merujuk kes itu dengan kata-kata “dari kandang ke kondominium” terus merujuk pinjaman RM250 juta daripada kerajaan untuk projek tersebut adalah bagi tujuan membantu membina perniagaan beribu penternak lembu bukannya untuk membeli kondominium.

NFC yang dikendalikan oleh suami dan anak-anak kepada Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Jalil menjadi perhatian ramai apabila laporan Ketua Audit Negara menyebut pengurusannya kini berada di dalam situasi kacau bilau.

Tidak berapa lama selepas itu, timbul pula isu pembelian dua unit kondominium mewah bernilai RM6.9 juta seunit di One Merenung, Bangsar, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Zuraida yang berucap pada konvensyen itu berkata, Cabang Wanita PKR di seluruh negara kini berjumlah 160 berbanding 147 tahun lalu.

Dan dalam usahanya untuk menarik perhatian golongan Cina dan India dalam PKR dan menyedari terdapatnya segelintir perwakilan bukan Melayu di dalam dewan, Zuraida kedengaran mengucapkan “leng chai, leng lui, ni hao ma” (handsome guy, pretty girl, how are you?) dan “achi vanakam” (ladies, have a good day) di dalam mukadimah ucapannya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan