Hakim Syarie Perlu Lengkapkan Diri Dalam Pelbagai Disiplin Ilmu

Diterbitkan: Jumaat, 25 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Jumaat, bertitah menyeru pegawai-pegawai Mahkamah Syariah khususnya para Hakim Syarie agar bersedia berhadapan dengan cabaran-cabaran besar dengan melengkapkan diri dalam pelbagai disiplin ilmu agar keyakinan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah tidak luntur.

"Beta dimaklumkan bahawa kes-kes di Mahkamah Syariah kini bukan lagi hanya tertumpu kepada kes-kes perceraian sahaja bahkan kini ia melibatkan kes tuntutan harta yang bernilai jutaan ringgit, juga kes-kes yang mencabar sensitiviti masyarakat seperti permohonan pengisytiharan bukan seorang Islam," titah baginda.

Selain daripada itu kecekapan dan ketegasan dalam pengendalian kes akan dapat menegakkan keadilan, Sultan Sharafuddin bertitah di dalam Majlis Perasmian Bangunan Baru Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) di Persiaran Masjid Seksyen 5 di sini.

Bagi mencapai matlamat itu, baginda bertitah semua pihak yang terlibat terutamanya para peguam syarie, pendakwa syarie dan pihak yang bertikai perlu bersama-sama membantu mahkamah dengan membentangkan fakta yang sebenar agar keadilan dapat ditegakkan.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya para hakim dapat menyempurnakan tuntutan syarak yang diamanahkan ke atas mereka dengan sabar dan penuh ikhlas di samping mematuhi segala etika sebagai seorang hakim yang berwibawa, tegas dan berkeyakinan dalam mengendalikan setiap kes.

"Seseorang hakim itu akan melanggar etika kehakiman apabila membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugas kehakiman hingga menjejaskan kedudukannya sebagai seorang hakim," titah baginda.

Baginda bertitah bahawa baginda masih lagi mendapat aduan daripada orang-ramai tentang kes-kes Mahkamah Syariah terutama permohonan cerai dan fasakh serta pembahagian harta yang mengambil masa yang lama untuk kes diselesaikan hanya disebabkan perkara-perkara remeh yang sepatutnya boleh dielakkan.

"Justeru itu dengan adanya bangunan baru serta kemudahan-kemudahan yang diberikan, beta menyeru kepada pihak JAKESS supaya dapat mengatasi masalah ini agar kes-kes atau perbicaraan dapat dijalankan mengikut jadual dan diharapkan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang sepatutnya," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga bertitah baginda tidak mahu lagi mendengar aduan-aduan negatif terhadap Institusi Kehakiman Syariah yang secara tidak langsung menjejaskan imej agama Islam di negeri ini.

Keutamaan perlu diberikan kepada kes-kes Mal yang melibatkan rumahtangga agar tidak ada sesiapa yang teraniaya akibat kelalaian atau kecuaian pihak tertentu, titah baginda.

Baginda juga bertitah pada masa yang sama Mahkamah Syariah juga perlu dilihat sebagai sebuah institusi yang berintegriti dan berkualiti tinggi kerana ini penting dalam usaha membina keyakinan serta kepercayaan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah yang dulunya sering dianggap sebagai mahkamah kelas dua.

JAKESS berpindah ke bangunan baru setinggi tujuh tingkat ini pada 18 Julai lepas daripada ibu pejabat lamanya di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Bangunan baru ini juga menempatkan Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, dewan muktamar serta bilik hadhanah, bagi pengendalian kes-kes keluarga. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan