Gerakan Mengalu-Alukan Usaha Kerajaan Pinda AUKU

Diterbitkan: Jumaat, 25 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gerakan mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi membolehkan penuntut yang berusia 21 tahun ke atas menyertai politik.

Parti itu berkata ini membuktikan komitmen kerajaan melakukan pembaharuan dalam bidang politik.

Naib Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata Gerakan melalui sayap pemudanya telah berterusan menggesa kerajaan sama ada menghapuskan atau meminda AUKU 1971 untuk menegakkan hak-hak asasi manusia dan kebebasan awam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah Seksyen 15 AUKU 1971, penuntut atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar dilarang bersekutu dengan persatuan, kecuali sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan atau diluluskan oleh Naib Canselor.

Mereka yang melanggar peraturan itu boleh didenda sehingga RM1,000 atau dipenjara sehingga tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"Pelajar universiti adalah pemimpin masa depan negara dan Mereka sepatutnya diberi kebebasan untuk menyertai politik. Kita harus yakin tentang kesedaran berpolitik, kematangan dalam berfikir dan kehendak penuntut universiti kita," kata Mah dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berharap Perdana Menteri akan menimbangkan semula untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes AUKU membabitkan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 24 April tahun lepas.

Pelajar berkenaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi dalam keputusannya pada 28 September 2010 memutuskan Seksyen 15(5)(a) akta tersebut adalah konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 31 Oktober lepas, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan itu dan memutuskan Seksyen 15(5)(a) akta tersebut yang melarang pelajar universiti berpolitik adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, untuk lebih adil, pelajar juga harus mematuhi peraturan dan tidak membawa ideologi politik ke dalam kampus," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan