Sekolah Agama Kedah Dapat Bantuan RM6 Juta Daripada Kerajaan Pusat

Diterbitkan: Khamis, 24 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Sebanyak 55 sekolah agama di Kedah pada Khamis, menerima bantuan RM6.36 juta daripada kerajaan pusat sebagai pengiktirafan serta tanda bahawa kepentingan sekolah agama terus dibela.

Sebanyak RM3.19 daripada peruntukan berkenaan diagihkan kepada 34 Sekolah Agama Rakyat (SAR), RM2.38 kepada 17 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan RM800,000 kepada empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Bantuan untuk membolehkan sekolah-sekolah berkenaan meningkatkan kemudahan infrastruktur dan alat bantuan pembelajaran itu disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, pada perjumpaan khas warga pendidik bersama beliau di Universiti Teknologi Mara di Merbok dekat sini hari ini.

Dalam ucapannya, beliau berkata untuk pemberian sumbangan seumpama itu kerajaan pusat tidak pernah mengambil kira fahaman politik sesuatu pihak kerana dalam membangunkan agama semua adalah sama.

Muhyiddin berkata dengan bantuan yang diberikan ia akan membolehkan sekolah aliran agama memantapkan serta mengukuhkan usaha mendidik anak bangsa khususnya dalam pendidikan Islam.

Katanya peranan sekolah agama sangat penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu dan bersahsiah tinggi.

"Negara maju perlukan tenaga manusia yang mahir dan dapat memenuhi tuntutan sosio-ekonomi dan tenaga manusia terlatih menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin meluangkan masa berdialog dengan warga pendidik yang hadir serta menjawab beberapa soalan berkaitan pembangunan sekolah agama. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan