Muhyiddin Minta Rakyat Kedah Tidak Ulangi Kesilapan

Diterbitkan: Khamis, 24 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat Kedah tidak mengulangi kesilapan sekali lagi dengan memilih calon bukan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang sekiranya mahu melihat lebih banyak pembangunan berlaku di negeri ini.

Ketika menyampaikan ucapan ringkas selepas bersarapan pagi bersama orang ramai di Pekan Sungai Lalang Lama di sini, beliau berharap rakyat dapat membuat pertimbangan sebaik-baiknya untuk memilih parti yang akan memerintah Kedah kelak.

"...yang penting kerajaan pusat akan terus bantu rakyat Kedah hidup lebih selesa namun rakyat mempunyai pilihan untuk memilih meminta bantuan daripada Perdana Menteri atau Menteri Besar," kata Timbalan Perdana Menteri.

Terdahulu, ketibaan Muhyiddin di pekan itu dengan menaiki bas ekspres dari Butterworth kira-kira pukul 8.50 pagi disambut pemimpin dan anggota parti komponen BN daripada MCA, MIC, PPP dan Gerakan.

Sejurus turun, Timbalan Perdana Menteri memasuki restoran Yi Ding Xian untuk beramah mesra dengan pengunjung dan kemudian memasuki setiap buah kedai yang membuka perniagaan termasuk meninjau dan bertemu orang ramai yang membeli di Pasar Pekan Sungai Lalang Lama.

Beliau yang dalam rangka lawatan sehari ke Kedah diiringi seramai 25 orang anggota Jawatankuasa Perhubungan Umno negeri diketuai pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dam Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mohd Zain.

Muhyiddin dijadual mengadakan perjumpaan dengan orang ramai dan pesara guru serta menyampaikan bantuan kepada sekolah-sekolah agama serta wang bantuan RM100 kepada pelajar sekolah di Universiti Teknoloji MARA (UiTM) Merbok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan