'BN Pilihan Orang Muda' - Slogan Pemuda PRU Akan Datang

Diterbitkan: Khamis, 24 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno akan membincangkan isu berkaitan transformasi politik dan persiapan menghadapi pilihan raya umum pada Perhimpunan Agung Umno 2011 yang akan bermula Selasa depan, kata ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin.

Sehubungan dengan itu beliau mengumumkan slogan rasmi Pemuda Barisan Nasional (BN) -'BN Pilihan Orang Muda' bagi pilihan raya umum akan datang.

"Kita cari slogan yang segar bagi menghormati kebebasan dan hak yang ada pada orang muda untuk pilih kerajaan akan datang," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Pemuda Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa semangat Pemuda adalah tinggi untuk membincangkan dua isu utama iaitu transformasi politik dan pilihan raya umum pada Perhimpunan Agung Umno nanti.

Khairy berkata, rakyat seharusnya lebih menghayati dan menyokong transformasi politik yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia merangkumi langkah-langkah yang boleh mengukuhkan lagi demokrasi negara.

Beliau berkata, Pemuda BN membuat ketetapan menyokong konsep 'calon boleh menang' yang ditekankan oleh Perdana Menteri.

"Kita juga harap konsep ini diterima oleh semua dan tidak ada mana-mana pihak yang akan pertikaikan pemilihan calon oleh kepimpinan parti komponen dan juga pengerusi BN sendiri," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan