SPR Harap Pilihan Raya Umum Ke-13 Diadakan Serentak

Diterbitkan: Selasa, 22 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap pilihan raya umum bagi kerusi Parlimen semua negeri dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak diadakan serentak.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata beliau akan menemui para pemimpin politik parti pakatan Parti Keadilan Rakyat-DAP-PAS yang memerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan berhubung pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata pertemuan itu bertujuan menerangkan kebaikan pilihan raya peringkat DUN dan Parlimen diadakan serentak antaranya bagi menjimatkan perbelanjaan, masa dan tenaga kerana prosesnya sama.

"Walaupun undang-undang membenarkan pilihan raya umum DUN dan Parlimen diadakan berasingan tetapi SPR lebih suka diadakan serentak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis taklimat untuk pengurus dan penolong pegawai pengurus bagi persiapan PRU-13 peringkat negeri Kedah di sini, Selasa.

Beliau berkata SPR bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya umum ke-13 berlangsung tahun ini atau tahun depan.

Kerajaan Persekutuan mempunyai mandat sehingga 27 April 2013. Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada April lepas.

Pada 17 November lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata DUN Selangor tidak akan dibubarkan pada awal tahun depan meskipun Kerajaan Persekutuan bertindak membubarkan Parlimen dan hanya bersedia menyertai pilihan raya umum ke-13 jika ia diadakan selepas Jun 2012.

Abdul Aziz berkata SPR mengalu-alukan cadangan pelbagai pihak bagi menambah baik proses pilihan raya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas namun ia perlu dibuat mengikut saluran yang ditetapkan.

Mengenai pengundi, beliau berkata sebanyak 42,000 nama yang tidak dapat dikesan atau dipastikan masih wujud diberi tempoh sehingga Disember untuk mengesahkan "kewujudan" mereka sebelum boleh didaftarkan dalam senarai daftar pemilih.

Abdul Aziz berkata lebih 13,000 pengundi yang tidak dapat dikesan itu berada di Sabah manakala di Kedah terdapat kira-kira 2,000 orang.

Kira-kira tiga juta orang, majoritinya berumur 21 hingga 41 tahun belum mendaftar dan sebilangan besar tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan manakala di Kedah terdapat kira-kira 300,000 orang yang layak belum mendaftar, katanya.

Mengenai taklimat itu, beliau berkata ia telah diadakan di Kelantan, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Kedah dan dijangka berakhir Januari ini. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan