Fama Belanja RM1 Juta Untuk Kontrak Ladang

Diterbitkan: Selasa, 22 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membelanjakan hampir RM1 juta di bawah program ladang kontrak dengan petani-petani di Terengganu dalam tempoh sepuluh bulan tahun ini.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata di bawah program bukan ladang kontrak pula pihaknya membelanjakan lebih RM3 juta.

"Langkah Fama itu bertujuan untuk memberi jamian kepada pengeluar hasil pertanian di Terengganu dengan harga berpatutan dan lebih tinggi daripada kos pengeluaran," katanya kepada Bernama, di sini.

Menurut Hasan keseluruhannya Fama telah membelanjakan sebanyak RM4.3 juta bagi kedua-dua program tersebut.

Beliau berkata bagi ladang kontrak, tumpuan diberikan kepada cili merah, tembikai, labu manis, ubi keledek vitato dan jagung manis, yang mendapat pasaran baik dalam dan luar Terengganu.

Katanya bagi cili merah, pihaknya telah membeli 51.6 metrik tan dengan nilai RM216,849, tembikai 617.9 metrik tan (RM316,079), labu 436.5 metrik tan (RM393,148), vitato 34.8 metrik tan (RM17,347) dan jagung manis 22.4 metrik tan (RM48,657).

Hasan berkata program ladang kontrak membabitkan seramai 325 peserta dengan keluasan tanaman 543.12 hektar, kebanyakannya di daerah Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.

Sementara di bawah program bukan ladang kontrak antaranya sayur-sayuran sebanyak RM1.3 juta, buah-buahan RM810,000 dan pelbagai RM1.06 juta dalam tempoh yang sama, katanya.

Beliau berkata selain dijual di pasaran tempatan, pasaran utama produk itu ialah di bandar-bandar besar seperti Johor, Lembah Klang, Pulau Pinang, Perak selain pasaran dalam negeri Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Hasan berkata jualan keseluruhan 19 buah pasar tani di Terengganu dalam masa sepuluh bulan tahun ini mencecah RM18.6 juta, menghampiri sasaran RM20 juta.

Katanya usahawan yang terlibat dengan pasar tani Fama sehingga kini adalah 976 orang, dengan sebahagian besar terdiri daripada golongan wanita dan petani-petani.

Beliau berkata Fama juga membantu usahawan-usahawan yang menjalankan perniagaan menggunakan motosikal roda tiga di mana tahun ini sembilan orang telah dibantu melibatkan kos RM70,000.

Selain itu usahawan buah-buahan segar seramai 38 orang dengan nilai bantuan RM5.5 juta dan agro bazar k-shoppe 3 dengan nilai bantuan mencecah RM329,000.

"Fama akan terus memainkan peranan agar lebih ramai usahawan bumiputera lahir di negeri ini pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan