MCA Cabar Kerajaan Negeri Pembangkang Adakan Pilihan Raya Serentak

Diterbitkan: Isnin, 21 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA mencabar kerajaan negeri PKR-DAP-PAS untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Pemudanya Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata pakatan pembangkang sebenarnya tidak bersedia menghadapi Barisan Nasional (BN) dan cuba sedaya upaya untuk mengelak daripada mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum.

"Adakah anda semua bersedia menghadapi Barisan Nasional pada pilihan raya negeri? Keengganan anda berbuat demikian menunjukkan anda sam ada tidak bersedia untuk menghadapi BN dan anda telah gagal memenuhi janji-janji pilihan raya.

"Dengan demikian, anda tahu bahawa anda tidak dapat bertanding dalam pilihan raya serentak," kata beliau dalam kenyataan di sini.

Katanya jika kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor sesungguhnya bersedia menghadapi calon BN dan Bebas dalam pilihan raya, mereka tidak payah mempolitikkan untuk menangguhkan pilihan raya negeri sebagai taktik terhadap lawannya.

"Penangguhan akan membazirkan wang pembayar cukai dan menyebabkan kesulitan penyediaan logistik," kata Wee sambil menambah bahawa ia akan juga mengambil masa dengan penyediaan logistik oleh Suruhanjaya Pilihan, anggota keselamatan dan parti politik dan calon.

Selain itu, parti-parti politik dan calon akan menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk berkempen di mana sumber-sumber itu lebih baik digunakan untuk membantu rakyat.

"Bagi mereka yang bekerja, belajar atau tinggal di luar negeri atau negara, mereka terpaksa pulang dua kali untuk mengundi di kawasan pilihan raya mereka.

"Dengan itu, jika kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor tidak hiraukan wang pembayar cukai, sekurang-kurangnya pertimbangkan individu yang terpaksa datang dari jauh dua kali yang melibatkan kos pengangkutan tambahan hanya untuk pergi mengundi," kata Wee. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan