M'sia, Australia Kerjasama Banteras Penyeludupan Dan Pemerdagangan Orang

Diterbitkan: Ahad, 20 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai isu membabitkan penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai pada mesyuarat keempat Kumpulan Kerja Malaysia-Australia mengenai penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang yang diadakan di Melbourne pada 14 hingga 15 November lepas.

Menggariskan hasil penting mesyuarat itu dalam satu kenyataan, beliau berkata kedua-dua pihak bercadang menganjurkan bengkel berbilang pihak untuk meningkatkan kerjasama serantau menangani penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang, berdasarkan pengalaman kerajaan Malaysia dan Australia dalam perumusan perjanjian dua hala.

Mereka juga mengambil kira pendekatan praktikal untuk meningkatkan pembabitan negara sumber dalam kerjasama serantau berdasarkan semangat Kerangka Kerjasama Serantau di bawah Proses Bali, katanya.

"Kedua-dua pihak bersetuju pada dasarnya untuk memasukkan aspek keganasan dan pemerdagangan orang di bawah Kumpulan Kerja Undang-Undang Teknikal Dua Hala. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menganjurkan bengkel berkaitan pendakwaan jenayah rentas sempadan," katanya.

Mahmood berkata kedua-dua negara juga bersetuju meneruskan dan meningkatkan kerjasama pertukaran risikan, termasuk peluang latihan lanjutan bagi agensi penguatkuasaan kedua-dua belah pihak.

Mesyuarat itu juga bersetuju secara prinsipnya bagi Malaysia untuk menjadi tuan rumah bersama Australia menganjurkan bengkel Asean-Australia mengenai integriti visa pada Mac tahun depan, katanya dan menambah terdapat juga perjanjian bagi kedua-dua belah pihak menjadi tuan rumah Mesyuarat Kumpulan Ad-Hoc Pakar Teknikal mengenai Pergerakan Haram di bawah Proses Bali pada Mei 2012.

Mahmood berkata mesyuarat kumpulan kerja itu membuktikan kekukuhan hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Australia berhubung aspek keselamatan, terutama dalam membanteras kedua-dua jenayah itu termasuk isu berkaitan jenayah rentas sempadan.

"Ia juga mencerminkan apa yang boleh dicapai oleh negara-negara yang mempunyai pendirian yang sama di rantau ini dalam menangani jenayah penyeludupan dan pemerdagangan orang," katanya.

Mesyuarat kumpulan kerja itu dianjurkan secara bergilir-gilir di antara Malaysia dan Australia. Mesyuarat itu yang diilhamkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mengadakan mesyuarat pertamanya di Kuala Lumpur pada Ogos 2009. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan