Tiada Desakan Sesiapa - Tsu Koon

Diterbitkan: Sabtu, 19 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini menafikan dakwaan bahawa tindakan beliau untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) adalah disebabkan desakan daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata keputusan untuk tidak bertanding sama ada bagi kerusi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibuat sejak awal tahun ini tetapi tidak mengumumkannya kerana atas beberapa sebab.

"Ia bukan atas desakan mana-mana parti atau sesiapa, sebaliknya keputusan saya sendiri. Saya memang telah memikirkan dan membuat keputusan itu sejak Januari lagi," katanya kepada pemberita semasa menghadiri majlis konvokesyen Wawasan Open Universiti (WOU) di sini, Sabtu.

Seramai 80 graduan menerima ijazah Sarjana pada konvokesyen kali kedua yang disempurnakan oleh Canselor WOU, Tun Dr Lim Keng Yaik.

Koh berkata antara sebab mengapa beliau tidak mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding ialah kerana berlaku beberapa pilihan raya kecil, pilihan raya negeri Sarawak dan perhimpunan haram Bersih 2.0.

"Bukan masa yang sesuai untuk mengumumkannya kerana sejak awal tahun ada beberapa pilihan raya kecil dan selepas itu pilihan raya di Sarawak serta isu berkaitan perhimpunan Bersih 2.0.

"Jika saya buat keputusan ketika itu ia seolah-olah saya tidak bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakyat. Jadi saya tunggu masa yang sesuai untuk umumkan," katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini mendakwa Koh tidak membuat keputusan tidak bertanding secara sukarela sebaliknya akibat desakan BN dan pihak media.

Koh mengumumkan tersebut Khamis lepas bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Beliau berkata beliau akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan jentera parti, menetapkan barisan calon, menyelaraskan strategi publisiti dan berkempen untuk calon daripada parti itu pada pilihan raya akan datang.

Ditanya berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau juga perlu meletak jawatan sebagai Presiden Gerakan, beliau beliau menghormati kenyataan berkenaan.

"Saya boleh melepaskan diri dengan mudah dengan meletakkan jawatan (presiden) tetapi atas rasa tanggungjawab terhadap parti, saya kekal untuk membantu parti pada pilihan raya umum ke-13 berikutan hampir semua pemimpin tertinggi Gerakan bermula dari Timbalan Presiden akan bertanding.

"Biarkan mereka memberi fokus kepada kawasan bakal ditandingi mereka manakala saya pula menjaga parti. Saya akan berada di barisan depan untuk berdepan dengan serangan ke atas Gerakan," katanya.

Berhubung jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang, Koh berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi BN.

"Untuk jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang, ia akan dibuat mengikut perlembagaan BN dan ditentukan oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi BN," jelasnya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan