Muhyiddin Optimis Rampas Semula Negeri Pembangkang

Diterbitkan: Sabtu, 19 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LABUAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) akan merampas semula negeri-negeri yang kini diperintah pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Selain mengekalkan Sabah dan Sarawak serta Labuan sebagai simpanan tetap untuk BN, parti campuran hendaklah mampu memenangi semula negeri-negeri lain yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

"Tumpuan dan perhatian bersama diberikan kepada semua negeri termasuk yang diperintah pembangkang kerana menurut beliau, kerajaan BN sentiasa mengambil sikap yang adil.

"Kita akan terus mengekalkan pendekatan yang menyentuh sentimen dalam membantu rakyat. Kita mahu rakyat tahu bahawa kita prihatin dan ikhlas dalam membantu mereka," katanya pada persidangan akhbar di sini pada Sabtu selepas melakukan lawatan sehari ke sini.

Mengenai keputusan presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata ia tidak akan menjejaskan undi kaum Cina pada pilihan raya nanti.

"Kita hormati keputusan itu. Ia tidak akan memberikan kesan kepada kita pada pilihan raya. Kita percaya beliau telah bincang dengan anggota parti. Apa yang penting ialah parti itu akan terus bekerjasama dengan BN," kata beliau.

Terdahulu, beliau mengadakan mesyuarat tertutup dengan Umno Labuan dan parti komponen BN dan diberi taklimat mengenai persediaan pilihan raya oleh pemimpin Umno.

"Saya berpuas hati dengan taklimat itu. Isu perpaduan yang dibangkitkan sebelum ini janganlah dipersoalkan. Baik, saya tidak nampak sebarang masalah mengenai perpaduan di pulau ini," kata beliau. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan