Kabinet Tidak Bincang Pinjaman NFC - Noh

Diterbitkan: Sabtu, 19 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mengesahkan bahawa pinjaman kepada syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) tidak dibincangkan pada kabinet sebaliknya dibincangkan di bawah Jawatankuasa Projek-projek Berimpak Tinggi.

Beliau berkata perkara itu dibentangkan kepada jawatankuasa berkenaan yang kemudiannya mengkaji serta memberi kelulusan pinjaman kepada NFC.

"Rafizi (pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli) tidak faham, nak dedahkan di kabinet apa kalau ia tidak dibawa ke kabinet, ia hanya dibawa ke jawatankuasa itu sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Selangor di Stesen Mardi, Jalan Kebun di sini, Sabtu.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan Rafizi kepada kerajaan supaya mendedahkan kertas mesyuarat jemaah menteri berhubung keputusan kerajaan menganugerahkan projek lembu fidlot NFC dan pemberian pinjaman RM250 juta kepada syarikat yang diterajui anggota keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu.

Rafizi dilaporkan berkata, perkara itu perlu dijelaskan untuk memastikan sejauh mana penglibatan Shahrizat dalam proses menganugerahkan projek berkenaan kepada NFC yang diketuai suami menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Mohammad Salleh Ismail sebagai pengerusi eksekutif.

Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini mendapati NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya selain wujud dakwaan pembelian kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur yang dikatakan menggunakan wang NFC.

Mohamad Salleh dalam penjelasannya Khamis lepas berkata, projek berkenaan berjaya menepati sasaran awal dan menafikan dakwaan pembangkang kononnya ia berada dalam keadaan tidak terurus.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu keputusan NFC membeli kondominium di Bangsar menggunakan wang pinjaman projek ternakan lembu juga merupakan satu langkah bijak dalam mengukuhkan kewangan syarikat itu.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata sepanjang 10 bulan pertama tahun ini kementerian melalui jabatan dan agensinya telah membelanjakan lebih RM150.92 juta bagi menjayakan pelbagai program untuk membangunkan industri agro makanan di Selangor.

Beliau berkata perbelanjaan itu digunakan untuk membangunkan infrastruktur, pembayaran subsidi dan insentif serta program ekonomi masyarakat petani serta nelayan.

Selain itu Noh berkata, daripada pengeluaran pinjaman pula, Agro Bank yang merupakan agensi di bawah kementerian itu telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM318.4 juta pada tahun ini kepada peminjam di Selangor.

Sementara bagi TEKUN Nasional pula dari tahun 1998 hingga September lepas, sejumlah RM261.18 juta telah dikeluarkan kepada 21,461 peminjam di negeri ini, katanya.

Mengulas mengenai keengganan kerajaan Selangor memberi kerjasama kepada kerajaan Persekutuan dalam pembangunan sektor pertanian di negeri ini, beliau berkata kedua-dua pihak perlu bergerak seiring jika ingin melihat pembangunan sektor pertanian berkembang lebih cepat serta memberi faedah kepada rakyat.

"Ini kerana dari segi pembangunan sektor pertanian kita tidak boleh lari daripada penggunaan tanah dan kita tahu ia adalah hak milik kerajaan negeri sementara kerajaan pusat hanya ada dana dan peruntukan.

"Kerana itu kalau kerajaan negeri seperti Selangor lebih banyak nak main politik dan tidak boleh bekerjasama dengan kita, yang akan rugi ialah rakyat," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan