Najib Telah Pamerkan Kepimpinan Yang Hebat - Obama

Diterbitkan: Jumaat, 18 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NUSA DUA (BALI): Presiden Amerika Syarikat, Barack Hussein Obama berkata, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mempamerkan kepimpinan yang hebat bukan sahaja dalam terus meningkatkan ekonomi Malaysia tetapi juga kepimpinan dalam pelbagai forum.

Pemimpin Amerika itu berkata; "kami mahu menjadi rakan yang akrab dengan Malaysia. Saya menghargai kerjasama luar biasa yang telah kami terima dalam pelbagai isu.

"...Jadi, terima kasih banyak-banyak Perdana Menteri," kata Obama dalam ucapannya pada mesyuarat dua hala dengan Najib di sini pada Jumaat menjelang Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadualkan Sabtu.

Presiden AS itu berkata, mesyuarat dua hala itu akan membolehkan kedua-dua negara membincangkan bagaimana mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin Sidang Kemuncak Asia Timur untuk menjamin kemakmuran dan keselamatan bersama di seluruh rantau ini.

Obama berkata, mesyuarat itu juga akan membolehkan kedua-dua pihak memperluaskan perbincangan mengenai hubungan dua hala mereka, menyifatkannya sebagai "kukuh" serta kerjasama yang dapat dilihat melalui isu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Beliau turut menyentuh mengenai interaksinya dengan Najib di forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Hawaii baru-baru ini.

"Saya hanya ingin menyatakan betapa saya berbesar hati dapat sekali lagi bertemu dengan Perdana Menteri Najib. Kami telah berbual dan mengadakan perundingan yang baik pada persidangan APEC yang kami hoskan di Honolulu," katanya.

Sementara itu, Najib, dalam kenyataannya berkata, AS adalah rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dan secara asasnya masih pelabur terbesar di Malaysia.

"Kami amat mengalu-alukan untuk memperluaskan rangkaian perdagangan dan pelaburan. Dan menerusi TPP, diharapkan, kami dapat memenuhi tarikh akhir tahun depan," katanya.

Najib berkata, Kuala Lumpur melihat terdapat banyak prospek daripada segi peningkatan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

"Dan pastinya kami bersedia untuk menjalin kerjasama dalam bidang-bidang lain yang berkenaan," katanya.

Pada masa yang sama, Najib menegaskan Malaysia amat komited dalam memastikan keamanan dan kestabilan, menyatakan negara Asia Tenggara bekerjasama dengan AS dalam bidang pengawalan senjata nuklear.

"Kami berusaha untuk memastikan Malaysia tidak menjadi pusat transit bagi barangan haram yang boleh digunakan untuk pembuatan senjata nuklear," katanya.

Najib juga berkata, Malaysia turut menghulurkan bantuan di Afghanistan, merujuk kepada usaha pembinaan semula negara itu yang mengalami kemusnahan akibat perang.

Mengenai soal keselamatan maritim yang ada kaitan dengan perkara yang dibincangkan dengan Asean, Amerika telah menegaskan bahawa ia mesti diselesaikan melalui rundingan serta berpandu kepada undang-undang antarabangsa terutama sekali Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada Obama dengan penghantaran 50 guru bahasa Inggeris dari Amerika pada bulan Januari akan datang.

Penempatan guru-guru itu dibuat di bawah satu skim yang dicadangkan Najib melalui Suruhanjaya Malaysia-Amerika bagi Pertukaran Pendidikan dan mereka akan ditempatkan di tiga buah negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Johor.

"Saya menyatakan bahawa ini adalah respons beliau kepada cadangan yang telah saya buat di New York pada bulan September 2010.

"Saya berharap jumlah ini dapat dipertingkatkan pada masa-masa akan datang," katanya.

Mesyuarat dua hala itu turut dihadiri Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, Timbalan Ketua Staf mengenai Dasar, Nancy-Ann DeParle, Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Tom Donilon dan Penolong Setiausaha bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Jabatan Negara, Kurt Campbell.

Delegasi Malaysia pula terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman dan Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan