Najib Dan Obama Adakan Mesyuarat Dua Hala

Diterbitkan: Jumaat, 18 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NUSA DUA (Bali): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama pada Jumaat mengadakan mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadualkan di sini, Sabtu.

Dalam kenyataan pembukaannya, Obama berkata mesyuarat dua hala itu akan membolehkan kedua-dua negara membincangkan mengenai bagaimana mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin Sidang Kemuncak Asia Timur untuk menjamin kemakmuran dan keselamatan bersama di rantau itu.

Beliau berkata hubungan AS dan Malaysia adalah kukuh, yang dapat dilihat melalui isu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

"Saya menghargai kerjasama luarbiasa yang kami terima..., kami mahu menjadi rakan yang akrab dengan Malaysia," katanya.

Presiden AS itu berkata kepimpinan Najib telah berjaya meneruskan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Sementara itu, Najib dalam kenyataannya berkata Malaysia bersedia memperluaskan rangkaian perdagangan dan pelaburan dengan TPP.

"Diharapkan kami dapat memenuhi tarikh akhirnya tahun depan. Kami melihat terdapat prospek besar daripada segi peningkatan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara kita. Kami bersedia untuk bekerjasama dalam bidang lain juga," katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga amat komited dalam memastikan keamanan dan kestabilan dalam bidang pengawalan senjata nuklear dan turut mengambil langkah dalam memastikan Malaysia tidak menjadi pusat transit bagi barangan larangan yang boleh digunakan bagi pembuatan senjata nuklear.

AS, kata Najib adalah rakan perdagangan keempat terbesar dan pelabur terbesar di Malaysia.

Mesyuarat dua hala itu turut dihadiri Setiausaha Negara AS Hillary Clinton, Timbalan Ketua Staf mengenai Dasar Nancy-Ann DeParle, Penasihat Keselamatan Negara Tom Donilon dan Penolong Setiausaha bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Jabatan Negara Kurt Campbell.

Delegasi Malaysia pula termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman dan Duta Besar Malaysia ke AS Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan