Pengusaha Bas Utama Negeri Sembilan Berhentikan Perkhidmatan Ke 12 Laluan

Diterbitkan: Khamis, 17 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Sebuah syarikat bas konsortium di Negeri Sembilan memberhentikan perkhidmatannya di 12 laluan secara mengejut kerana mendakwa mengalami kerugian akibat jumlah penumpang yang semakin menurun.

Beribu penumpang bas yang dilihat terkandas selama beberapa jam pada Rabu dan masalah tersebut dijangka tidak akan selesai dalam masa yang singkat kerana syarikat tersebut bertegas tidak akan memberi perkhidmatan di sepanjang laluan yang tidak memberikan keuntungan kepada mereka.

Syarikat konsortium tersebut telah memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai niat mereka untuk memberhentikan operasi tersebut melalui satu memorandum yang diberikan tiga hari lepas namun masih memberi perkhidmatan di laluan yang mempunyai banyak penumpang termasuk laluan Seremban-Port Dickson dan Seremban-Kuala Lumpur.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kecewa dengan perkara tersebut mengatakan tindakan syarikat tersebut memberi notis singkat adalah tidak wajar dan menyusahkan penumpang yang bergantung kepada mereka.

"Notis tiga hari adalah tidak cukup untuk kerajaan negeri memikirkan alternatif lain untuk penumpang dan tindakan untuk hanya memberi perkhidmatan sepanjang laluan yang menguntungkan sahaja adalah tidak patut," katanya.

Antara perkhidamatan bas yang diberhentikan adalah di laluan Seremban-NILAI-KLIA, Port Dickson-Telok Kemang, Seremban to Tampin, Rantau, Senawang, Linggi, Sikamat, Rasah Jaya dan laluan sepanjang Kajang.

Mohamad berkata beliau akan berjumpa dengan wakil dari syarikat tersebut dalam masa beberapa hari lagi untuk berbincang masalah tersebut.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu mengetahui sama ada kerugian yang dialami syarikat tersebut adalah disebabkan jumlah penumpang yang kurang ataupun berpunca daripada faktor lain.

"Jika sesuatu laluan tidak memberi keuntungan, kami masih boleh berbincang untuk alternatif namun kita tidak boleh membuat penumpang menunggu bas yang tidak akan muncul," katanya.

Ditanya mengenai permintaan syarikat tersebut supaya kerajaan negeri memberi subsidi kepada operasinya, beliau berkata perkara tersebut boleh dipertimbangkan.

"Mereka boleh menyerahkan permintaan mereka kepada kami namun mereka tidak boleh memberhentikan perkhidmatan mereka dan hanya berbincang selepas itu."

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Azhar Ahmad ,apabila dihubungi berkata pengusaha-pengusaha perkhidmatan bas akan dipanggil untuk bermesyuarat dalam masa beberapa hari lagi.

"Kami akan memanggil mereka minggu ini untuk bertanya kenapa mereka memberhentikan perkhidmatan di laluan-laluan tersebut," katanya.

Di Kuantan, Kerajaan Negeri Pahang akan mempertimbangkan satu pakej sesuai untuk membantu syarikat bas yang mendakawa menghadapi kerugian dan bakal muflis.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata exco kerajaan negeri telah membincangkan masalah yang dihadapi pengusaha dan sedang mencari kemungkinan mengenai projek pembangunan pemilikan sebagai satu perjanjian subsidi silang.

"Pendapatan daripada membangunkan pemilikan lain boleh menampung kerugian daripada operasi perkhidmatan bas," katanya, Rabu.

Walaupun ada yang menganggap perkhidmatan bas sebagai perniagaan "senja", ia masih diperlukan dan kerajaan negeri mahu ia diteruskan, katanya.

Satu mesyuarat dengan pengusaha bas akan dibuat dan kertas kerja mengenai pelan subsidi dan bagaimana ia harus dilaksanakan akan disediakan, kata Adnan yang menegaskan bahawa maklum balas daripada pengusaha adalah penting dalam hal ini.

Beliau berkata beberapa pengusaha perkhidmatan bas mengalami kerugian termasuk pengusaha di Kuantan, Janda Baik, Bentong dan Jengka di Maran.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan