Pelik Tapi Benar: Guan Eng Minta Beri Peluang Kedua Kepada Tsu Koon

Diterbitkan: Khamis, 17 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dalam nada dan kenyataan yang agak pelik tetapi benar, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berpendapat, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon perlu diberi peluang kedua bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi menebus kekalahannya pada pilihan raya yang lalu.

Sambil menyatakan rasa simpatinya kepada presiden Gerakan itu, Guan Eng berkata, Tsu Koon seharusnya dibenarkan bertanding memandangkan beliau juga kini merupakan seorang menteri kabinet.

"Saya rasa simpati kepada beliau,sepatutnya beliau diberi peluang bertanding lagi. Kalah dan menang dalam pertandingan adalah perkara biasa.

"Kalau kali kedua pun kalah lagi, tak mengapalah. Lepas itu kalau mahu bersara dalam politik pun tidak mengapa," katanya di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Guan Eng mengulas mengenai pengumuman Tsu Koon yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhubung keputusannya untuk tidak bertanding dalam PRU-13 nanti sama ada di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Parlimen demi menyelamatkan Gerakan dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun Tsu Koon akan terus berada dalam politik termasuk mengetuai Gerakan, BN Pulau Pinang dan kedudukannya sebagai naib pengerusi BN Pusat.

Pada PRU-12, Tsu Koon yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang tewas di kerusi Parlimen Batu Kawan kepada calon DAP.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang kini mengambil alih tempat Tsu Koon di Pulau Pinang mendakwa keputusan untuk tidak bertanding itu bukan kehendak peribadi Tsu Koon sebaliknya dibuat selepas menerima tekanan daripada parti-parti komponen BN.

"Perkara ini merupakan tekanan terhadap beliau oleh BN terutamanya media yang dikawal Umno dan MCA.

"Saya simpati dengan layanan yang diterima beliau. Jelas sekali keputusan itu merupakan misi berjaya bagi Umno yang tidak mahu beliau terus bertanding.

"Sebagai menteri dan presiden sebuah parti komponen, sudah pasti beliau nak bertanding lagi," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai kesan pengunduran Tsu Koon dalam pilihan raya nanti kepada kedudukan DAP di Pulau Pinang, Guan Eng berkata: "Setiap pilihan raya adalah sukar. Tak kisah sama ada Dr Koh Tsu Koon bertanding atau tidak.

"Kesukarannya ialah bagaimana kita nak yakinkan rakyat dan buktikan bahawa kita boleh berkhidmat."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan